Skip to main content

PM salur bantuan awal RM1,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Cina

Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus (kiri) menyampaikan sumbangan kewangan daripada Perdana Menteri ketika menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Cina, Kuala Terengganu pada 23 September 2022. - Gambar NSTP/Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU 23 Sept - Nasib malang 12 mangsa kebakaran di Kampung Cina, di sini, Sabtu lalu, mendapat simpati Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menyambungkan bantuan awal sebanyak RM1,000 setiap keluarga.

 

Penyerahan bantuan awal kepada mangsa kebakaran disampaikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, Berita Harian melaporkan.

 

Muhammad Anuar berkata, Ismail Sabri akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk melihat keperluan lain bagi membantu meringankan mangsa kebakaran.

 

Katanya, kerajaan negeri menghadapi kesukaran untuk menyalurkan bantuan, termasuk pembinaan bangunan baru disebabkan status Tanah Pendudukan sementara (TOL).

 

"Kita dimaklumkan mangsa sudah mendapat bantuan awal disalurkan kerajaan negeri.

 

"Kita akan bincang dengan Ismail Sabri untuk menyalurkan bantuan lain yang diperlukan mangsa kebakaran," katanya ketika mewakili Ismail Sabri menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Cina, di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Muhammad Anuar mendengar taklimat disampaikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Md Hilman Abd Rashid. Yang turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

 

Dalam kebakaran kira-kira jam 8.15 malam Sabtu lalu, sebanyak 12 bangunan termasuk kedai pakaian, emas dan kedai makan, terbakar.

 

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas. - DagangNews.com