Portal Merdeka360 jadi hab maklumat sambutan Bulan Kebangsaan | DagangNews Skip to main content

Portal Merdeka360 jadi hab maklumat sambutan Bulan Kebangsaan

Layari portal http://merdeka360.my/ untuk segala maklumat mengenai sambutan Hari Kebangsaan 2022
Oleh FAIZAL ZAKARIA
kkomm

 

 

SAMBUTAN Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 (HKHM 2022) yang sedang berlangsung ketika ini menyaksikan pelbagai acara telah direncana bagi memastikan kemeriahan sambutannya dapat dirasai dan disertai semua rakyat negara ini.

 

Malah, sambutan Bulan Kebangsaan sebenarnya telah bermula seawal 1 Julai lalu apabila acara pelancaran logo dan tema HKHM 2022 berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat di Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), Datuk E. Sivabalan berkata, sepanjang kira-kira tiga bulan sambutan Bulan Kebangsaan dijalankan iaitu bermula pada Julai sehingga September ini, pelbagai acara telah disusun melibatkan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

 

“Semua maklumat mengenai acara dan program yang akan berlangsung sepanjang sambutan Bulan   Kebangsaan ini boleh didapati di hab informasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia  menerusi laman portal http://merdeka360.my/ yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

 

Melalui portal ini, orang ramai boleh memuat turun lagu Negaraku, lagu-lagu patriotik, tatacara pemasangan bendera, e-book buku dan Logo, selain Tema Hari Kebangsaan serta kit promo HKHM 2022 dalam pelbagai format.”

 

“Malah, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pertandingan-pertandingan sempena sambutan HKHM yang dianjurkan pada tahun ini di Merdeka360,” ujarnya.


 

Datuk E. Sivabalan
                              Datuk E. Sivabalan

 


Mengulas lanjut, Sivabalan berkata, bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan kebangsaan tahun ini, tiga aktiviti utama ditetapkan iaitu Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai ini di Putrajaya, dan Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

 

Di samping itu katanya, pelbagai program dan pertandingan berunsur kenegaraan juga telah disusun sebagai usaha berterusan untuk memupuk serta menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia.

 

 

kkomm

 

 

“Terdapat kira-kira 17 acara dan program telah disusun oleh jawatankuasa induk pelaksanaan HKHM 2022 bermula Julai hingga Oktober ini.

 

“Antaranya ialah Pertandingan ILHAM Merdeka Tik Tok Challenge, Pertandingan KLIK@Merdeka, Pertandingan Bintang Smule, Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Mewarna & Melukis MYDOODLE@Merdeka, Program Pengisahan Kenegaraan, Sayembara Sajak Merdeka dan banyak lagi,” katanya.

 

Dalam pada itu, Jelas Sivabalan lagi, antara program yang paling menarik bagi menyemarakkan semangat patriotisme ialah program Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM2022) yang berkonsepkan serah baton bermula pada 30 Julai 2022 di Putrajaya bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.


 

kkomm

 


“Pelepasan konvoi KKM 2022 ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob dan akan menjelajah ke seluruh negara melalui perjalanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

 

“Penganjuran program pada tahun ini melibatkan penyertaan kenderaan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kelab pemotoran dari pelbagai latar belakang.

 

“Kembara ini akan turut menonjolkan keunikan di setiap hentian bagi mengetengahkan keunikan Keluarga Malaysia di setiap lokasi, dari segi budaya, makanan, tarikan setempat selain gaya hidup komuniti tersebut,” katanya.

 

Sivabalan turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia, sama ada yang berada di dalam mahupun luar negara, untuk turut terlibat secara langsung dalam penganjuran aktiviti atau menyertai program yang diadakan bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 kali ini. – DagangNews.com