Salcon dapat kontrak Langat 2 bernilai RM210 juta | DagangNews Skip to main content

Salcon dapat kontrak Langat 2 bernilai RM210 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Sept - Salcon Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Salcon Engineering Bhd. memperoleh kontrak daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bernilai RM209.95 juta.

 

Kontrak tersebut membabitkan Pakej 3 Bagi Cadangan Reka dan Bina Sistem Pelupusan Enapcemar Untuk Loji Rawatan Air Langat 2, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Projek itu yang akan bermula 4 Oktober 2022 selepas pemilikan tapak membabitkan skop untuk mereka bentuk dan membina sistem pengangkutan dan pelupusan sisa untuk Loji Rawatan Air Langat 2.

 

Ia merangkumi penghantar paip sepanjang lebih kurang 2,000 meter dari loji ke tempat perlindungan sisa (berhampiran Takungan Pengimbangan Bukit Enggang).

 

Secara dasarnya, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Cadangan Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Retikulasi Air di Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Pada 2020, Salcon berjaya menyiapkan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan kapasiti 1,130 juta liter sehari.

 

Mengulas mengenai perolehan kontrak tersebut, Ketua Pegawai Operasi Salcon Engineering, Jamiluddin Amini Sulaiman berkata, ia mencerminkan keyakinan PAAB terhadap Salcon yang mempunyai rekod prestasi dan kepakaran yang kukuh dalam industri air tempatan.

 

"Oleh itu, kami yakin dapat melaksanakan projek tersebut sehingga berjaya disiapkan," katanya.

 

Projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh 27 bulan dijangka siap pada Januari 2025 dan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 2025. - DagangNews.com