PENGGAMBARAN LUAR STUDIO WAJAR DIBENARKAN SEMULA SELEWATNYA FASA 3 LOCKDOWN
AKHIRNYA, desakan yang kuat dari kalangan masyarakat, serta situasi peningkatan kes baharu yang semakin meningkat, kerajaan Malaysia mengumumkan total lockdown bermula 1 Jun yang lalu.
Sekali lagi negara terpaksa mengambil risiko dengan menutup sebahagian besar sektor ekonomi, namun sebahagian besar melihat ia adalah tindakan yang sangat perlu untuk diambil dalam situasi kritikal kini.
Satu daripada sektor ekonomi yang terkesan dengan keputusan ini pastinya sektor industri kreatif, adalah industri penerbitan filem dan TV.
Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam sektor ini, saya sangat menyokong keputusan kerajaan untuk melaksanakan Total Lockdown ini memandangkan situasi kritikal peningkatan kes yang memerlukan keputusan dengan pengorbanan besar ini.
Namun, saya juga melihat bahawa ada peranan yang perlu dimainkan secara proaktif oleh agensi berkaitan bermula dari sekarang agar industri dan sektor ini tidak terus ketinggalan - apabila sektor ekonomi mula dibuka nanti.
Jika diteliti kenyataan media pengumuman Total Lockdown yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri pada 28 Mei yang lalu, secara umumnya lockdown ini akan terbahagi kepada tiga fasa:
- Fasa Pertama selama dua minggu
- Fasa Kedua selama empat minggu
- Fasa Ketiga - yang mana Lockdown Fasa Tiga ini akan menggunakan SOP seperti PKP 3.0 yang dilaksanakan bulan lalu. Peralihan dari satu fasa ke satu fasa berikutnya juga tertakluk kepada situasi semasa kes.
Jika ini dijadikan sebagai rujukan, industri penggambaran filem dan TV tidak akan dapat berjalan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan mendatang.
Malah akan lebih lama memandangkan Lockdown Fasa Ketiga sepertimana yang dinyatakan dalam kenyataan media Perdana Menteri tersebut akan mengguna pakai SOP seperti PKP 3.0 yang lalu.
Jika mengikut SOP PKP 3.0 bulan lalu, kebanyakan sektor ekonomi dibenarkan berjalan, namun penggambaran di luar studio masih tidak dibenarkan.
Ini situasi yang sangat membimbangkan bagi para penerbit perfileman dan TV, kerana bakal berdepan pelbagai isu akibat penangguhan yang terlalu lama. Malah menjadi lebih membimbangkan bahawa tidak ada gambaran jelas bilakah industri ini akan dibenarkan untuk beroperasi semula.
Jika dilihat pengalaman pada tahun lalu, industri kreatif khususnya sektor penggambaran merupakan antara sektor yang paling terkemudian diberikan kebenaran untuk mula beroperasi.
Saya melihat peranan proaktif yang perlu dimainkan oleh agensi berkaitan, khususnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK), Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) untuk membuat konsultasi bermula dari sekarang.
Antara yang boleh diusahakan adalah meyakin agar penggambaran di luar studio untuk dibenarkan sekurangnya bermula Lockdown Fasa Tiga – kerana jika dirujuk kepada kenyataan Perdana Menteri dan SOP terdahulu, penggambaran luar studio harus menunggu sehingga berakhirnya Lockdown Fasa Tiga – tempoh yang tidak dapat diramal berapa lama yang akan diambil secara jelas.
Permintaan agar kebenaran diberikan untuk penggambaran di luar studio pada Lockdown Fasa Tiga dirasakan wajar dipertimbangkan – memandangkan ketika itu kebanyakan sektor ekonomi lain juga telah diberikan kebenaran beroperasi.
Ia juga dirasakan wajar memandangkan pengambaran luar studio ini sudah terlalu lama dan sudah beberapa kali dilarang – apabila kes meningkat – sejak PKP 2.0 dilaksanakan awal tahun yang lalu.
Penangguhan demi penangguhan membuatkan banyak pertindihan jadual pelakon & artis depan skrin – yang akan memeningkan penjadualan penggambaran – dan akhirnya membawa kepada projek yang gagal disiapkan mengikut kontrak.
Malah masih banyak projek yang terhenti separuh jalan akibat PKP 1.0, masih gagal diteruskan sehingga kini akibat gagal menyesuaikan jadual pelakon yang bertindih akibat penangguhan. Sepertimana semua maklum, penerbitan yang terhenti separuh jalan tidak boleh menukar pelakon lain atas faktor kesinambungan cerita.
Oleh itu, sekali lagi saya berharap agar sesi konsultasi agensi bertanggungjawab dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini amat penting untuk digerakkan dari sekarang.
Ini supaya MKN pihak selaku pihak berkuasa dalam implementasi dan penguatkuasaan SOP dapat memikirkan hal ini lebih awal – dan merancang sekali gus memasukkannya dalam perkara yang perlu dikaji dan diberikan perhatian bermula kini – seterusnya dapat terus dilaksanakan sebaik sahaja ketika negara memasuki Lockdown Fasa Tiga nanti.
Sekiranya sessi perbincangan dan konsultasi antara kedua pihak ini dijalankan hanya dijalankan setelah Lockdown memasuki Fasa Tiga – iaitu ketika sektor ekonomi lain sudah mula beroperasi, pastinya proses pihak MKN untuk mempertimbangkan perkara tersebut akan lebih mengambil masa, yang mana ia akan terus memberikan tekanan kepada para pemain industri.
Pada masa ini, dianggarkan sekitar 180 buah syarikat masih dalam tempoh kontrak penerbitan dengan pihak Radio Televiysen Malaysia (RTM) yang masih dalam proses kerja penerbitan pelbagai peringkat, yang mana dijangka akan terus terkesan selagi mana penggambaran filem dan TV tidak dibenarkan.
Ini tidak termasuk kontrak penerbitan dengan stesen TV swasta, penerbitan filem cereka, penerbitan iklan dan lain-lain. Situasi ini memberikan kesan yang sangat besar kepada ekosistem penerbitan filem dan TV di negara ini – yang mana membawa risiko penutupan syarikat oleh syarikat-syarikat penerbitan yang kebanyakannya berstatus perniagaan kecil dan sederhana (SME) ini.
Ia pastinya adalah satu angka yang signifikan dan mempunyai impak yang besar kepada daya tahan dan kelangsungan industri ini – yang mana jika tidak diberikan perhatian sewajarnya mampu melumpuhkan ekosistem industri penerbitan filem dan TV di negara ini. - DagangNews.com
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
BACA ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA :
- STRATEGI-STRATEGI ASTRO MENGHADAPI DIGITAL DISRUPTION
- Industri filem berdepan semakin banyak kepupusan pekerjaan
- MENJANA EKONOMI KREATIF DALAM DUNIA PERBUKUAN
- Industri Kandungan Faktual Malaysia perlu diberi penekanan
- Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19
Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)
- KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU
- Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia
- POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO
- COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI
Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek
- ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?
- BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF