Menjana ekonomi kreatif dalam dunia perbukuan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 30 April 2021

MENJANA EKONOMI KREATIF DALAM DUNIA PERBUKUAN

 

 

STATUS Kuala Lumpur sebagai ibu kota buku dunia – yang dianugerahkan oleh UNESCO bagi tahun 2020, berakhir minggu lalu apabila tiba masanya untuk menyerahkan kepada bandar berikutnya, Tbilisi di Georgia pada 24 April lalu.

klbc

Beberapa bulan sebelum Kuala Lumpur menerima secara rasmi status tersebut tahun lalu, saya berkesempatan menyertai delegasi Malaysia ke pasar hak cipta perbukuan terbesar dunia iaitu Frankfurt Book Fair (FBF) di Jerman pada bulan Oktober 2019.

 

Kunjungan ke pasar hak cipta tersebut membuka mata saya tentang potensi luas dalam dunia perbukuan yang tidak hanya terhad dalam dunia buku. FBF memperlihatkan bahawa dunia harta intelek perbukuan bukan sekadar soal memasarkan hak cipta, terjemahan, mahu pun aktiviti kesusasteraan semata-mata, yang seringkali digambarkan dalam kebanyakan aktiviti perbukuan di Malaysia.

 

FBF memperlihatkan sisi holistik dunia perbukuan yang sudah berintegrasi (mungkin juga berevolusi) dengan segala bentuk media serta bidang kandungan terbaharu – bukan sekadar soal adaptasi novel ke filem mahupun peralihan buku fizikal ke e-buku secara digital.

 

Tetapi juga menyentuh aplikasi virtual reality atau realiti maya (VR), augmented reality atau realiti terimbuh (AR), serta disiplin-disiplin yang lain termasuk seni halus, teknologi terbaharu percetakan, inovasi kertas, pengurusan & pengedaran data (data management & distribution), serta sebagainya.

 

Ia membuka mata saya sahaja bahawa acara perbukuan – apatah lagi bersifat perdagangan (B2B) seperti FBF - bukan sekadar ajang untuk syarikat dan perniagaan perbukuan, malah perlu melebarkan cakupannya dalam segala bidang - termasuk media, teknologi serta inovasi yang lebih pelbagai untuk meneroka potensi jalinan niaga dalam dunia perbukuan di sana.

 

Mungkin sudah menjadi kelaziman bagi FBF bahawa delegasi dan pelawat perniagaan malah pemamer yang menyertai bukanlah daripada mereka dalam industri buku sahaja, malah juga dari mereka yang terlibat dalam sektor pelbagai yang saya sebut tadi seperti penerbit filem, galeri seni, inovator, syarikat pemula (start-up), dan sebagainya.

 

 

kreatif

 

 

Bagaimana potensi menyuburkan situasi ini di Malaysia?

Sebagai seorang peminat buku yang konvensional dan lebih selesa membaca dalam bentuk fizikal, ia tidak menghalang saya untuk melihat dunia perbukuan secara lebih dinamik, dalam konteks ini sebagai sebuah industri yang perlu berinovasi, dalam memastikan ia kekal relevan dengan trend ekonomi kreatif dan dunia semasa.

 

Pentas acara perbukuan tidak harus lagi dilihat terhad kepada bidang perbukuan, percetakan, mahupun penulisan & kesusasteraan – malah acara buku di Malaysia perlu menjadi lebih holistik.

 

Kita harus mula memikirkan tentang bagaimana industri buku berpotensi untuk berintegrasi dalam acuan konsep & kerangka ekonomi semasa seperti gig economy, orange economy, revolusi industri 4.0, digital 5.0 dan segala macam yang galak diperkatakan kini.

 

Dalam membawa `impian` tersebut, saya percaya bahawa penggiat industri harus mula melihat kedudukan mereka dalam senario ini. Organisasi berkaitan perbukuan, termasuklah dalam dari sektor kerajaan perlu mencari peranan yang boleh dimainkan mereka untuk melihat wajah baharu perbukuan.

 

Perpustakaan harus membawa wajah (malah tanggungjawab dan pendekatan) baharu dalam menjalankan peranannya sebagai gedung ilmu.

 

Dalam konteks ini, saya suka untuk melihat dua buah perpustakaan negeri di Malaysia – iaitu Selangor dan Sarawak, yang nampaknya sangat beriltizam untuk menyuburkan budaya perpustakaan yang memenuhi aspirasi inovasi seiring perubahan semasa dunia hari ini.

 

 

state
Perpustakaan Negeri Sarawak di Petra Jaya, Kuching.

 

Setidaknya ia membuatkan saya yakin bahawa para pustakawan di Malaysia juga mempunyai kefahaman tentang keperluan memposisikan semula kedudukan perpustakaan dalam masyarakat berteraskan inovasi kini.

 

Selain itu, di pentas acara perbukuan, saya sangat gembira sekiranya kita dapat melihat bahawa bukan hanya pemain perbukuan yang memperkatakan tentang buku. Bukan hanya penulis, penterjemah, penerbit, pencetak, pengedar dan pustakawan.

 

Kita berharap agar nanti akan ada syarikat pemula teknologi tempatan yang bergerak membangunkan inovasi berkaitan buku, tidak kira dalam konteks aksesibiliti, pengedaran, teknologi penceritaan dan sebagaiya.

 

Kita juga berharap agar suatu hari nanti lebih banyak syarikat penerbit kandungan kreatif membuka reruai (booth) di acara buku tempatan meneroka pasaran jualan format dokumentari mereka contohnya, kepada penerbit buku berminat; mahupun sebaliknya.

 

Contoh lain, kita juga mahu melihat forum perbukuan bukan bercakap soal kelaziman, tetapi juga menampilkan para inovator membentangkan penemuan mereka tentang teknologi percetakan yang lebih baik untuk kelangsungan alam.

 

Atau para arkitek bercakap dengan seni bina bangunan perpustakaan yang lebih mesra pengguna atau mungkin juga syarikat pembangunan drone dan UAV membincangkan tentang sistem mobiliti yang dibangunkan mereka untuk memudahkan capaian perbukuan di kawasan luar bandar dan terpencil.

 

 

kreatif

 

Kita juga mahu pasar hak cipta tempatan bukan sekadar berputar soal jual beli hak penerbitan dan terjemahan, tetapi juga menjadi ruang kerjasama pelbagai usaha dalam kalangan usahawan pelbagai bidang selagi berpegang pada paksi kelestarian sektor perbukuan.

 

Saya faham bahawa menulis di sini mungkin beribu, malah mungkin berjuta kali lebih mudah daripada mengusahakannya. Boleh sahaja menulis apa sahaja idea yang nampak fantastik dan indah.

 

Namun, jika bukan apa yang saya tulis di atas sekalipun, jika ada idea-idea lain sekalipun, saya percaya perlu digalakkan inovasi yang dilahirkan dari pemikiran `gila` di luar kotak begini.

 

Saya sedar percaya pelbagai usaha juga telah digembleng oleh para penggiat dunia buku untuk mengembalikan sektor perbukuan negara yang kelihatan sedikit menurun beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Namun, saya tetap percaya bahawa kepelbagaian pendapat dan sudut pandang sebegini harus terus dicambahkan, malah diraikan dalam usaha mencapai impian kita semua itu. Kita tidak harus berhenti dari terus mencuba.  

 

 

kreatif

 

Jika semua itu berjaya dihayati dan diusahakan, saya percaya bahawa apa yang menjadi hasrat dan aspirasi UNESCO ketika mengangkat Kuala Lumpur menjadi Ibu Kota Buku Dunia UNESCO (KLWBC) 2020 telah tercapai.

 

Sebagai usahawan kandungan kreatif sekaligus peminat buku – saya secara peribadi  amat berharap industri perbukuan yang kita cintai ini akan terus subur.

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 

Industri Kandungan Faktual Malaysia perlu diberi penekanan

Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19

Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)

KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU

Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia

POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO

COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI

Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

Portfolio Tags