Jadikan isu J&T pengajaran, syarikat kurier sila perbaiki mutu servis | DagangNews Skip to main content

Jadikan isu J&T pengajaran, syarikat kurier sila perbaiki mutu servis

TANGKAP layar rakaman video pekerja J&T yang mengagihkan bungkusan dengan ganas didakwa tidak berpuas hati berhubung isu gaji mereka.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Bermula daripada tempahan makanan sehinggalah perubatan, serba-serbi kini dilakukan menerusi dalam talian sejak penularan COVID-19 menjejaskan perniagaan global untuk beroperasi seperti biasa. 

 

Malah, impak pandemik itu telah membawa rakyat dan perniagaan di negara ini ke arah peralihan digital dengan pantas sehingga Malaysia mencatatkan pengguna digital tertinggi berbanding negara-negara Asia Tenggara lain iaitu 83% (berusia 15 tahun ke atas) daripada jumlah penduduk.

 

Di Malaysia sahaja, terdapat kira-kira 4 juta pengguna digital baharu pada tahun 2020.

 

Di situ bermulanya kebergantungan ‘di hujung jari’ dalam kalangan pelanggan, sehingga menjadi ‘lubuk keuntungan’ buat syarikat perkhidmatan kurier dan platform e-dagang untuk merebut peluang perniagaan semasa pandemik ini.

 

Dalam sektor logistik dan kurier, mereka memainkan peranan penting untuk memastikan tempahan produk pelanggan sampai ke depan pintu rumah dengan mudah.

 

Bagi menyokong usaha berkenaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) malah memutuskan pembekuan (moratorium) pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier berkuatkuasa selama dua tahun bermula 14 September tahun lalu sehingga 15 September 2022.

 

Langkah yang diambil itu bukan sahaja membawa khabar gembira buat pemain industri, tetapi menjadi teras kepada aktiviti e-dagang dan pembangunan ekonomi digital Malaysia.

 

Menurut laporan buletin IRDA yang dikeluarkan suruhanjaya itu pula pada November tahun lalu, sektor pos dan kurier mencatatkan jumlah pasaran modal lebih tinggi iaitu RM0.31 bilion.

 

Sektor berkenaan mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak 43% dalam pasaran modal Bursa Malaysia sejak April 2020 didorong oleh peningkatan permintaan e-dagang dan pasaran dalam talian.

 

Senada itu, nota kajian MIDF Research bertarikh 12 Januari lalu menekankan pemerhatiannya ke atas pengguna Malaysia yang mula beralih kepada pembelian secara dalam talian sebagai sebahagian daripada norma pembelian baharu.

 

Oleh itu, industri logistik dilihat berada dalam landasan untuk pegembangan.

 

Tidak percaya? Lihat Pos Malaysia Berhad yang mencatatkan pendapatan pada suku ketiga 2020 (3Q20) berakhir pada 30 September 2020 melonjak 13.3% kepada RM623 juta susulan pandemik COVID-19 berbanding 3Q19. 

 

GD Express Carrier Berhad (GDEX) pula mencatatkan hasil yang melonjak 15.7% tahun ke tahun kepada RM363 juta bagi tahun kewangan 2020 (FY20), berakhir 30 Jun tahun lalu.

 

‘Durian runtuh’ itu turut dirasai Ninja Van sehingga mampu menawarkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia menerusi jaringan perkhidmatannya.

 

Bukan menidakkan ‘rezeki’ yang hadir susulan lambakan tempahan dalam talian ketika ini, namun ia memberi tekanan buat perkhidmatan kurier dan logistik sekiranya infrastruktur dan pengurusannya tidak cakna terhadap perkara tersebut. 

 

Kajian yang dilakukan oleh Blackbox mendapati hampir separuh pengguna atau 43% menunjukkan mereka kurang berpuas hati dengan pengalaman perdagangan digital di mana salah satu isu yang dibangkitkan adalah masa penghantaran.

 

Apabila kapasiti terlalu tinggi, infrastruktur syarikat perkhidmatan kurie dikhuatiri tidak dapat menampung atau menyokong jumlah penghantaran yang terlampau banyak.

 

Lihat sahaja isu membelenggu J&T Express di mana penghantaran bungkusan pelanggan didakwa mengambil masa dan keadaan bungkusan diterima, yang dikongsi dalam ruangan media sosial pula ‘tidak sedap mata memandang’.

 

Kejadian penangguhan gaji pekerja yang tular telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja dan tingkah laku pengagihan bungkusan yang ganas telah mencetuskan kemarahan pengguna.

 

J&T mengakui kesilapannya bahawa peningkatan pesat dalam jumlah bungkusan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 telah mendorong syarikat itu untuk mengupah lebih banyak pekerja sementara dan hanya memberi latihan asas. 

 

Walaupun perkhidmatan kurier dilihat penting, namun penghantaran yang cermat dan menepati kehendak pelanggan wajar dilaksanakan dengan kaedah pengurusan yang baik.

 

Situasi ini sebenarnya memberi peluang buat pemain industri untuk memperbaharui sistem operasi, mendigitalkan operasi mereka dan meningkatkan keberkesanan, kecekapan serta ketahanan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif DHL Express, John Pearson menekankan kepada The Edge bahawa pendigitalan merupakan titik penting untuk mengatasi permintaan yang mencanak daripada e-dagang. 

 

Jelasnya, apabila permintaan kian meningkat dengan pelanggan pula ‘tertunggu-tunggu ketibaan’ bungkusan mereka, ini merupakan cabaran buat pemain industri untuk mencipta jenama yang berdaya saing. 

 

Pemain industri perlu memastikan bahawa bungkusan dihantar dalam jangka masa yang singkat, ini termasuk pengesanan dan pengurusan ketepatan serta penetapan waktu penghantaran. 

 

Usaha komited yang diumumkan J&T untuk menambah baik perkhidmatan dan pengurusan harus dipuji. Sebagai salah sebuah jenama kurier yang terkemuka di Malaysia, pengguna menilai pada hasil kerja yang cemerlang. 

 

Apatah lagi, pemain industri perlu bersedia dan mempunyai pelan jangka masa panjang serta pendek yang proaktif untuk menampung kapasiti permintaan kerana trend ini dijangka berterusan. - DagangNews.com