KUALA LUMPUR 9 Sept - Pasaran buruh Malaysia bertambah kukuh pada bulan Julai dengan kadar pengangguran mencatat 3.7%, iaitu menghampiri paras pra-pandemik berdasarkan penerbitan Statistik Tenaga Buruh Malaysia, pada Julai 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pencapaian ini adalah jauh lebih baik berbanding dengan 4.5% yang dicatatkan pada tahun 2021 dan 4.2% pada Januari 2022.
Beliau berkata, bilangan penganggur terus menurun kepada 620,700 orang (Jun 2022: 630,600 orang).
Selain itu katanya, bilangan penduduk bekerja pada Julai 2022 terus mencatatkan pertumbuhan positif 0.3% kepada 15.98 juta orang (Jun 2022: 15.94 juta orang).
"Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan semakin meningkat, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit dan aktiviti pentadbiran serta khidmat sokongan.
"Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan turut menunjukkan peningkatan, kecuali bagi sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian yang mencatatkan penurunan dalam guna tenaga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mustapa, kedudukan tenaga buruh pada Julai 2022 juga bertambah baik berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh sebanyak 0.2% bulan ke bulan merekodkan 16.60 juta orang.
"Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi direkodkan pada bulan tersebut iaitu pada kadar 69.6%. Pencapaian pasaran buruh yang lebih kukuh ini disokong kedudukan ekonomi yang bertambah baik bagi suku kedua tahun 2022 dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh pada kadar 8.9%," katanya.
Beliau berkata, bagi separuh pertama 2022, ekonomi negara berkembang sebanyak 6.9%.
Peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial yang kembali normal, terutamanya susulan pembukaan sempadan negara sejak 1 April 2022 telah memberi impak positif terhadap pasaran buruh negara yang telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan, katanya.
"Momentum pemulihan pasaran buruh ini juga selaras dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, seperti program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan portal pekerjaan negara, MyFutureJobs.
"Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.
Tambahnya, pasaran buruh dijangka akan terus kukuh pada suku tahun ketiga dengan jangkaan prestasi perniagaan lebih baik.
"Petunjuk keyakinan mencatat 4.7% bagi suku ketiga tahun 2022 berbanding 3.5% pada suku kedua. Ini menggambarkan situasi ekonomi dijangka lebih baik pada suku ketiga tahun ini," katanya. - DagangNews.com