Kenaikan OPR, jejas pemulihan harga barang - Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kenaikan OPR, jejas pemulihan harga barang - Pakar Ekonomi

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 18 Mei - Harga barangan dijangka menjadi lebih stabil kerana terdapat bukti awal bahawa ekonomi global telah mencapai kemuncak inflasi dan ini disokong oleh penawaran barangan di peringkat global yang bertambah baik.

 

Namun, kadar faedah yang lebih tinggi boleh menyebabkan situasi menjadi lebih buruk, kata Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Geoffrey Williams kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau menegaskan, tahap inflasi di Malaysia masih terkawal dan mengekalkan status sebagai 'tiada inflasi' setakat ini.

 

Malah, katanya, kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam penyata Dasar Monetari BNM pada Rabu lalu juga menunjukkan bank pusat mengakui inflasi di Malaysia akan rendah disebabkan kawalan harga dan kapasiti ganti.

 

"Faktor yang menyebabkan harga barangan menjadi lebih tinggi adalah disebabkan kenaikan kos kerana harga minyak yang lebih tinggi, sekatan bekalan dan perubahan dasar seperti kos utiliti yang lebih tinggi untuk pengguna bukan kediaman," jelasnya.

 

 

Geoffrey Williams
Geoffrey Williams

 

 

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, kadar faedah yang lebih tinggi tidak akan menyumbang kepada penurunan harga barangan.

 

Mengaitkan dengan ekonomi Malaysia yang berkembang 5% pada suku pertama 2022, berbanding penguncupan 0.5% pada suku sama 2021, Geoffrey menyifatkan, ia adalah luar biasa positif.

 

"Bagaimanapun, persekitaran ekonomi dan perniagaan telah berubah pada suku tahun kedua tahun ini berbanding suku pertama.

 

"Persekitarann antarabangsa juga merosot dan berlaku pengetatan dalam ekonomi domestik berikutan kadar faedah yang lebih tinggi yang akan mengambil banyak permintaan domestik sebagaimana pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipam masuk," katanya.

 

Oleh itu, menurutnya, kadar faedah yang lebih tinggi akan meneutralkan kesan positif ke atas penggunaan daripada pengeluaran KWSP dan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak akan dapat dikekalkan dalam situasi semasa.

 

"Di samping itu, kadar faedah yang lebih tinggi akan merencatkan pertumbuhan ekonomi memandangkan kos pinjaman bagi pengguna dan peniaga meningkat lebih tinggi. 

 

"Kadar faedah yang lebih tinggi tidak akan mengurangkan harga barangan yang menyebabkan inflasi. 

 

"Masalahnya bukan inflasi, cabarannya adalah untuk mengekalkan pertumbuhan tentatif dan pemulihan," katanya.

 

Geoffrey menambah, kadar faedah yang lebih tinggi memberi kesan negatif ke atas penggunaan kerana kos kredit lebih tinggi, bayaran balik pinjaman lebih tinggi dan kos kad kredit lebih tinggi. 

 

"Semua bank perdagangan telah menaikkan kadar asas dan kadar pinjaman asas supaya semua bentuk pinjaman akan menjadi lebih mahal dan tinggi. 

 

"Ini bermakna pengguna mempunyai wang yang kurang kerana mereka perlu membayar hutang dan pengguna akan mengambil pinjaman lebih rendah kerana kosnya yang lebih tinggi," jelasnya lagi. - DagangNews.com