Kilang baharu Rhone Ma bernilai RM40 juta tingkat kapasiti pengeluaran sehingga 4x ganda | DagangNews Skip to main content

Kilang baharu Rhone Ma bernilai RM40 juta tingkat kapasiti pengeluaran sehingga 4x ganda

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 25 Jan - Rhone Ma Holdings Bhd melancarkan secara rasmi kilang baharu bernilai RM40 juta di Nilai Utama Enterprise Park, Nilai, Negeri Sembilan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Rhone Ma, Dr. Lim Ban Keong berkata, kilang itu adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan perniagaan Kumpulan untuk penyediaan penyelesaian kesihatan haiwan hujung ke hujung khususnya dalam usahanya untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk kesihatan haiwan jenama sendiri terutamanya dalam farmaseutikal dan bahan tambahan makanan.

 

Ujarnya, fasiliti baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran maksimum Kumpulan sebanyak kira-kira empat kali ganda kapasiti pengeluaran maksimum sedia ada atau kira-kira 2,500 MT setahun. 

 

"Pada masa ini, kilang baharu yang mula beroperasi pada April 2021 beroperasi pada kapasiti lebih 35%, kumpulan menjangkakan bahawa loji itu akan mencapai kapasiti maksimum pada 2023.

 

"Dengan kilang baharu beroperasi sepenuhnya, kami kini dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk jenama kami sendiri daripada pelanggan kami yang terus berkembang. 

 

"Ini, digabungkan dengan lokasi strategik kami, pasti akan mengukuhkan kehadiran Rhone Ma dan meningkatkan lagi kedudukan kami sebagai salah satu pemain utama kesihatan dan pemakanan haiwan di Malaysia dan di seluruh rantau Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selain daripada pasaran domestik, produk kesihatan haiwan jenamanyai juga dieksport ke Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei dan Myanmar. 

 

"Penerimaan produk jenama sendiri di luar negara menunjukkan bahawa jenama Malaysia juga mempunyai kualiti yang luar biasa dan boleh berdiri teguh dengan jenama global yang lain,” jelasnya lagi. 

 

Thailand ialah pasaran eksport terbesar Kumpulan, menyumbang kira-kira 48% kepada hasil pasaran eksport Kumpulan pada 2021.

 

Rhone Ma ialah sebuah syarikat pemegangan pelaburan dan terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan. Melalui anak syarikatnya, Rhone Ma terlibat dalam penyediaan penyelesaian kesihatan haiwan hujung ke hujung dan pengedaran serta pembekalan bahan makanan. -DagangNews.com