Konsep Keluarga Malaysia selaras dengan nilai toleransi, kebersamaan Tasamuh - PM | DagangNews Skip to main content

Konsep Keluarga Malaysia selaras dengan nilai toleransi, kebersamaan Tasamuh - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di majlis perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran Tahun 1443 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada 12 Jun 2022. - Gambar Bernama

JOHOR BAHRU 12 Jun - Rakyat Malaysia bersyukur kerana dapat mengamalkan cara hidup berteraskan prinsip dan acuan al-Quran dengan bebas, aman dan harmoni seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia memperuntukkan Islam ialah agama bagi Persekutuan; namun pada masa yang sama, agama-agama lain juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

 

Sebagai bukti ujar beliau, penganjuran majlis ini dapat diadakan saban tahun dan ditunggu-tunggu kerana menjadi wadah dalam membangunkan masyarakat Islam yang bermanhaj Rabbani.

 

Menurutnya, ia juga bersesuaian dengan konsep Tasamuh yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

 

Beliau berkata, Tasamuh adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud ‘toleransi ’atau ‘berlapang dada’. Dalam maksud yang lain adalah bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi.

 

Misalnya toleransi dalam agama ialah sikap saling menghormati hak dan kewajipan antara agama. Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap Tasamuh dalam bermasyarakat.

 

"Tasamuh adalah istilah yang terkait dengan akhlak terpuji. Dalam Islam, ada banyak sikap dan perbuatan baik yang harus diterapkan dalam hidup.

 

"Bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya yang majmuk seperti Malaysia, sikap toleransi atau tasamuh sangat penting sebagai alat menyatupadukan kita semua," kata beliau.

 

Perdana Menteri berkata semasa merasmikan Tilawah dan Hafazan al-Quran Tahun 1443 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini malam ini. 


 

PM

 

 

Ismail Sabri berkata, Islam adalah agama yang sangat menghargai perbezaan di dalam batasan tertentu. Nabi Muhammad SAW telah memberikan contoh dalam hal Tasamuh ini.

 

Katanya, sejarah Madinah membuktikan bahawa Baginda berjaya mengurus masyarakat majmuk sehingga membawa kehidupan yang harmonis dan kekuatan kepada Madinah, bandar penuh keberkatan.

 

"Dalam realiti Keluarga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, sudah pasti kepelbagaian budaya dan adat resam menjadi satu keunikan yang perlu diraikan, sekali gus mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.

 

 

PM

 

 

"Mana-mana budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi," katanya.

 

Tasamuh kata Perdana Menteri, adalah asas utama dalam menghadapi keragaman dan perbezaan bangsa dan agama lebih-lebih lagi dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama, budaya serta bahasanya.

 

Oleh itu ujar Ismail Sabri, dalam apa juga perkara, konsep Tasamuh dalam bermasyarakat harus menjadi perkara utama kepada Keluarga Malaysia untuk bergerak ke hadapan sejajar dengan peredaran masa kini. - DagangNews.com