KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan melaksanakan jualan lima barangan keperluan asas dengan jenama COOP iaitu gula, minyak masak, tepung, beras dan ayam beku, pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran mulai Jumaat ini.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pelancaran jualan itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena dengan perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Selangor pada Jumaat.
Penganjuran Jelajah AKM Negeri Selangor yang diterajui oleh kementerian itu akan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini di Tapak Karnival, perkarangan Stadium Shah Alam dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
“Istimewanya AKM Negeri Selangor ini, kita akan beri manfaat kepada para usahawan dan rakyat dengan penganjuran jualan murah dan jualan 'happy hour' termasuk ayam yang akan dijual RM5 seekor, serta pelbagai barangan keperluan lain seperti gula, minyak masak, beras, tepung, yang juga akan dijual lebih murah dari harga pasaran," katanya ketika menjadi tetamu di Ruang Bicara Bernama TV malam tadi.
Beliau berkata, usaha itu adalah selaras dengan permintaan Perdana Menteri yang mahu kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia, memainkan peranan dalam memerangi orang tengah dan membantu rakyat dengan menurunkan harga barangan keperluan.
"Sepatutnya pada 1 September nanti baru kita akan lancarkan lima item (COOP) itu, tetapi Alhamdulillah hasil usaha para pegawai kementerian ini, pelancaran akan dapat dimulakan sewaktu Perdana Menteri melancarkan Jelajah AKM Negeri Selangor nanti," katanya.
Beliau juga meminta kerjasama orang ramai untuk memantau harga barangan yang dijual di bawah jenama COOP itu, dan sekiranya lebih mahal daripada harga pasaran, mereka diminta untuk membuat membuat aduan di Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk diambil tindakan ke atas peniaga yang terlibat.
Noh berkata, penganjuran Jelajah AKM Negeri Selangor yang bertemakan "Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara", akan turut melibatkan pelbagai bidang keusahawanan termasuk makanan, fesyen, kecantikan serta ruang untuk golongan artis memasarkan produk mereka, Bernama melaporkan.
Selain itu katanya, beliau akan turut terlibat dengan sesi dialog bersama para usahawan pada hari Sabtu, pukul 2 petang di Jelajah AKM Negeri Selangor bagi memberi ruang kepada semua usahawan melontarkan sebarang soalan berkaitan program pembangunan untuk golongan tersebut selain berkongsi idea bagi memajukan sektor keusahawanan di Malaysia. - DagangNews.com