Skip to main content

Pemimpin APEC sepakat capai Wawasan Putrajaya 2040

 Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Pemimpin negara anggota ekonomi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengumumkan Wawasan Putrajaya APEC 2040 sebagai satu visi baharu dalam membentuk masa hadapan wilayah berkenaan.

 

Perkara tersebut diumumkan sebagai satu persepakatan dalam Deklarasi Kuala Lumpur 2020 yang dihasilkan oleh barisan pimpinan ekonomi APEC.

 

Menurut deklarasi berkenaan, visi baharu itu menekankan kepada komuniti Asia Pasifik yang terbuka menjelang tahun 2040.

 

"Kami mengisytiharkan Wawasan Putrajaya APEC 2040 sebagai visi baharu yang mengutamakan pembentukan masa depan wilayah kita.

 

"Visi kami adalah untuk menjadikan komuniti Asia Pasifik sebagai ekonomi terbuka, dinamik, berdaya tahan dan sejahtera menjelang tahun 2040.

 

APEC 2020

 

"Ia adalah untuk kemakmuran semua rakyat dan generasi akan datang," jelas Deklarasi Kuala Lumpur yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC (AELM) 2020 malam tadi.

 

Mengulas perkara sama, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyeru seluruh komuniti APEC untuk bersama-sama mencapai visi berkenaan.

 

"Wawasan Putrajaya 2040 menawarkan landasan melangkaui Matlamat Bogor yang diguna pakai sejak 1994.

 

"Saya ingin mengulangi bahawa teras Wawasan Putrajaya APEC 2040 yang merupakan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan sejahtera menjelang 2040, untuk kemakmuran semua rakyat dan generasi akan datang.

 

"Marilah kita bersama-sama berpadu untuk mencapai visi ini. Bersama sebagai satu keluarga APEC, kita mampu mencapainya," jelas beliau. - DagangNews.com

 

APEC 2020