PKPB dijangka kurangkan permintaan air botol Spritzer | DagangNews Skip to main content

PKPB dijangka kurangkan permintaan air botol Spritzer

Spritzer Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilihat akan mengurangkan permintaan air botol syarikat Spritzer Berhad untuk tempoh suku keempat 2020.

 

MIDF Research berkata, perintah kawalan berkenaan juga berkemungkinan memberi kesan kepada segmen HORECA (hotel, restoren, cafe).

 

"Walaupun kami terkejut dengan hasil Spritzer bagi suku ketiga 2020, kami menjangkakan bahawa hasil suku keempat akan sedikit berkurangan. 

 

"Kami percaya pelaksanaan semula PKPB berkemungkinan akan mengurangkan permintaan air botol. Segmen HORECA juga kemungkinan akan turut terjejas dan terkena impak negatif PKPB," jelas MIDF Research.

 

Spritzer mencatat peningkatan keuntungan bersih yang memberangsangkan pada suku ketiga 2020 dengan lonjakan sebanyak 13.7% kepada RM10.4 juta berbanding tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan syarikat berkenaan merosot sebanyak -9.1% kepada RM88.6 juta berbanding tahun sebelumnya.

 

Keputusan yang mengejutkan itu dikaitkan dengan kos bahan mentah pembungkusan, perbelanjaan penjualan dan pemasaran yang lebih rendah.

 

Disebabkan penjimatan dalam kos input pembungkusan serta perbelanjaan penjualan dan pengedaran yang lebih rendah, keuntungan bersih syarikat berkenaan meningkat sebanyak 13.7% tahun ke tahun meskipun penjualan lebih rendah.

 

MIDF Research juga berpendapat bahawa penjualan pada suku ketiga itu turut disokong oleh lonjakan permintaan susulan gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang.

 

"Kami kekalkan saranan 'beli' saham Spritzer dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah sebanyak RM2.34.

 

"Hasil dividen Sprtizer dianggarkan sebanyak 2.2%," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com