Prospek ekonomi kurang memberangsangkan, ringgit diunjur susut hingga RM4.40 - DBS Research | DagangNews Skip to main content

Prospek ekonomi kurang memberangsangkan, ringgit diunjur susut hingga RM4.40 - DBS Research


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - DBS Research menyemak turun unjuran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam julat antara RM4.20 hingga RM4.40 berikutan prospek ekonomi yang dijangka lemah pada suku akan datang.

 

Menurut firma itu, sejak 2015, ringgit secara teknikalnya akan menyusut sehingga RM4.40 setiap kali ia melepasi paras RM4.20. 

 

Ketika ditutup petang ini, ringgit berada pada paras RM4.2380/2410 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.2350/2390.

 

Menjelaskan mengenai kelemahan itu, DBS Research berpendapat wujudnya faktor dari segi asas ekonomi mengapa ia berlaku.

 

Faktor pertama, mengambil kira pertumbuhan ekonomi yang dijangka perlahan pada separuh kedua ini berbanding 7.1% pada separuh pertama disebabkan tercetusnya gelombang ketiga jangkitan COVID-19. 

 

Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 kepada 3 hingga 4% berbanding sebelum itu, 6 hingga 7.5%.

 

"Keduanya, kerajaan merancang untuk melebarkan defisit fiskal kepada 6.5 hingga 7% daripada KDNK berbanding anggaran awal, 6%. Sudah tentu had hutang statutori akan dinaikkan daripada 60% kepada KDNK.

 

"Pelabur juga akan berwaspada terhadap penurunan penarafan kredit pada masa hadapan disebabkan pergolakan politik," katanya dalam laporan analisisnya hari ini.

 

Pada Disember lalu, Fitch memutuskan penarafan hutang mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada BBB+. 

 

S&P pada Jun pula, mengesahkan penarafan penerbit jangka panjang mata wang asing dan mata wang tempatan masing-masing pada A- dan A, dengan tinjauan negatif.

 

Bagaimanapun, di sebalik unjuran terhadap kelemahan ringgit, DBS Research menjangkakan dasar-dasar ekonomi akan kekal akomodatif meskipun di sebalik persekitaran yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19 dan situasi semasa politik. 

 

"Tetapi pada pandangan kami, dasar kewangan, monetari dan fiskal secara berterusan dijangka menyediakan sokongan kepada aktiviti ekonomi. 

 

"Kerajaan juga dilihat bergantung kepada langkah bukan fiskal bagi membantu isi rumah perniagaan. Ini dilaksanakan pada ketika ruang fiskal adalah terhad manakala dasar monetari memainkan peranan sebagai pelengkap," jelasnya.

 

Setakat ini, kerajaan telah mengumumkan 8 pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion, merangkumi 37% daripada KDNK sejak bermulanya pandemik ini tahun lalu.

 

Lebih daripada 80% langkah yang diambil bagaimanapun adalah bukan fiskal, antaranya pemberian moratorium dan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

DBS Research juga menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75% sepanjang tahun ini.

 

"Walaupun terdapat ruang untuk mengurangkan lagi kadar ini, tetapi bank pusat menyatakan dasar fiskal dan kewangan akan terus menyokong ekonomi," katanya.

 

Di sebalik prospek ekonomi yang dilihat tidak menentu menurut firma itu, ia melihat kadar vaksinasi yang lebih baik beserta permintaan luaran dan dasar ekonomi yang kukuh akan menyokong pertumbuhan apabila memasuki 2022.

 

"Dengan kadar vaksinasi semakin meningkat, Malaysia kini bersiap sedia untuk membuka semula ekonomi menjelang hujung tahun ini.

 

"Tetapi, pergolakan politik yang menyaksikan peralihan kepimpinan negara, perlu diteliti sama ada ia memberi kesan dari segi pembaharuan atau hala tuju dasar," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, DBS Research mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 4% manakala 5% pada 2022. - DagangNews.com