Skip to main content

Prospek KPower kekal meyakinkan - Firma

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Penganalisis optimis terhadap prospek KPower Bhd. setelah merekodkan prestasi suku ketiga berakhir 31 Mac 2021 yang kukuh. 

 

Bagi suku berkenaan, hasil syarikat tenaga itu berkembang sehingga 334% kepada RM137.66 juta berbanding RM31.68 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan bersih juga meningkat hampir 3 kali ganda kepada RM14.15 juta bagi suku tersebut, berbanding tempoh sama tahun lalu pada RM2.67 juta. 

 

Menerusi nota kajian, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap KPower dengan harga sasaran RM3.12 sesaham.

 

Penganalisisnya, Sean Lim berkata, walaupun aktiviti pembinaan mungkin akan terjejas dalam tempoh terdekat ekoran peningkatan ketara jangkitan COVID-19, tetapi keseluruhan prospek KPower adalah cerah. 

 

"Prestasi KPower ini disokong oleh nilai projek dan aliran kontrak yang kukuh," jelas beliau.

 

 

Baca : Pendapatan suku ketiga KPower 'mencanak' 334%

 

 

Sehubungan itu, beliau menyemak naik unjuran pendapatan KPower bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 17% kepada RM40.2 juta dan mengekalkan unjuran bagi 2022 dan 2023.

 

Bagaimanapun, katanya, prestasi suku keempat (berakhir 30 Jun 2021) masih membimbangkan dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 di Malaysia ketika ini.

 

"Perubahan harga sasaran kami pada RM3.12 masih ditambat 25 kali bagi PER tahun kewangan 2022. 

 

"Kami percaya KPower berpotensi menjana kewangan menerusi projek Solar Berskala Besar (LSS4) dan pengembangan masa depan," katanya. 

 

Secara keseluruhan, beliau berkata, prospek KPower kekal positif berdasarkan potensi pertumbuhan pendapatan yang kukuh, nilai projek dan pulantan ke atas ekuiti yang mantap. 

 

"Namun, risiko penurunan pula bergantung kepada pengisian semula nilai projek yang rendah berbanding jangkaan dan juga lebihan kos projek," katanya.

 

Sementara itu, penganalisis AmInvestment Research, Jeremie Yap menyemak naik unjuran keuntungan bersih KPower bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 masing-masing sebanyak 31%, 15% dan 8% kepada RM41 juta, RM51.9 juta dan RM75.3 juta. 

 

Malah, nilai saksama bagi harga saham juga dinaikkan kepada RM2.47 berbanding RM2.31 sebelum ini, berdasarkan 18 kali semakan ke atas pendapatan sesaham (EPS) dengan unjuran 13.7 sen unjuran untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.

 

"Kami menilai KPower dengan pengurangan purata 20 kali nisbah harga pendapatan (PER) bagi pemain tenaga diperbaharui terkemuka di peringkat global dengan mengambil kira KPower sebagai pemain baharu dalam segmen ini. 

 

"Selain itu, secara relatifnya, ia mempunyai nilai pasaran yang kecil dan tidak ada penyesuaian berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kepada harga saksama berdasarkan penafaran 3 bintang seperti yang dinilai kami," katanya. 

 

Firma itu yang mengekalkan saranan 'beli' bagi saham KPower berpandangan, prospek cerah dalam sektor tenaga diperbaharui disokong trend global ke arah tenaga bersih dan neutral karbon memberi kelebihan kepada syarikat. 

 

Dalam masa sama, katanya, pendapatan yang kukuh dan potensi pertumbuhannya juga didorong permintaan pesanan  tertunggak bagi projek utiliti hijau berjumlah RM2.2 bilion dan juga nilai tender yang besar sebanyak RM3.4 bilion. - DagangNews.com