SCIB untung RM12.2 juta | DagangNews Skip to main content

SCIB untung RM12.2 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM12.2 juta pada suku kelima yang berakhir 31 Mac 2021 (5QFY21). 

 

Sebagai rekod, SCIB telah menukar tahun kewangan mereka dari 31 Disember kepada 30 Jun. 

 

Pada suku tahun sama, syarikat merekodkan hasil sebanyak RM175.3 juta yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh perniagaan pembinaan / kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan hasil berjumlah RM155.7 juta. 

 

Sementara, perniagaan pembuatan SCIB pula mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM1.8 juta ekoran pengurangan dalam permintaan produk simen kerana penangguhan projek akibat pandemik COVID-19.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, SCIB akan terus mengotimumkan sumbernya di samping menyusun strategi bagi peluang-peluang ketika waktu mencabar ini.

 

“Industri ini berdepan cabaran gangguan rantaian bekalan, penangguhan projek, peningkatan harga bahan mentah dan kos tambahan daripada prosedur keselamatan susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung virus.

 

Rosland Othman
Rosland Othman

 

“Bagi mengurangkan gangguan kepada operasi dan pengurusan kos, kami sentiasa berhubung dengan pelanggan dan pembekal serta akan terus melakukannya bagi perancangan dan penjadualan semula kerja di tapak. 

 

“Prospek kami terus kukuh dan perniagaan berjalan seperti biasa di peringkat domestik dan antarabangsa. Bahagian pembinaan akan terus menjadi penyumbang hasil utama kepada syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Rosland, SCIB juga sedang mengintai peluang pengembangan ke Semenanjung Malaysia di samping meneruskan operasi di Malaysia Timur memandangkan syarikat terikat dengan projek infrastruktur mega bernilai RM22 bilion di Sarawak. 

 

Pada tahun ini, SCIB berjaya meraih beberapa projek di Semenanjung Malaysia antaranya melibatkan Prima Corp Malaysia, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan potensi kontrak penyelenggaraan jalan.

 

Di peringkat antarabangsa, SCIB melihat terdapat peluang di Indonesia memandangkan kerajaannya berhasrat untuk mengalihkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan, jelas Rosland lanjut. 

 

Dalam perkembangan lain, Rosland menegaskan bahawa SCIB dan Serba Dinamik Holdings Berhad merupakan syarikat dan segmen perniagaan yang berbeza. 

 

Walaupun kedua-duanya memiliki pemegang saham sama, namun kata Rosland, SCIB dan Serba Dinamik mempunyai pengurusan yang bebas dan berbeza.

 

Secara terkumpul bagi tempoh 15 bulan dalam tahun kewangan semasa, SCIB mencatatkan hasil mencecah RM691.3 juta dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) dan PAT masing-masing berjumlah RM73.76 juta dan RM64.37 juta.

 

Setakat penghujung Mac 2021, SCIB menyaksikan pesanan bukunya bernilai RM2.4 bilion. - DagangNews.com