Semakan semula audit, beri harapan baru buat Serba Dinamik - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Semakan semula audit, beri harapan baru buat Serba Dinamik - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Meskipun Serba Dinamik Holdings Bhd. ketika ini berdepan dengan isu tadbir urus sejak sebulan lalu, namun prestasi kewangan bagi suku berakhir 31 Mac 2021 turut terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Penganalisis TA Securities, Kylie Chan Sze Zan berkata, jika dibuat perbandingan bagi tempoh Oktober hingga Disember 2020, pendapatan bersih syarikat susut 43 peratus bagi suku ke suku yang mana kebiasaannya suku akhir mempunyai aktiviti yang tinggi.

 

"Pendapatan di Malaysia pula, khususnya merosot 41 peratus suku ke suku disebabkan PKP di beberapa negeri. Ini turut menyebabkan kerja-kerja di beberapa pasaran utama Serba Dinamik menjadi perlahan.

 

"Lebih-lebih lagi pendapatan bersihnya diburukkan lagi dengan kos kewangan yang tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Jumaat, Serba Dinamik mengumumkan keuntungan bersih berjumlah RM113.32 juta dan perolehan RM1.38 bilion bagi suku berakhir 31 Mac 2021, disumbangkan terutama oleh segmen operasi dan penyelenggaraan serta segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentaulihan.

 

Sebelum itu, syarikat berkenaan juga mengumumkan tarikh akhir tahun kewangan telah diubah daripada 31 Disember kepada 30 Jun.

 

Sehubungan itu, tiada maklumat kewangan bagi perbandingan yang tersedia bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021.

 

Bagaimanapun, Sze Zan percaya, fokus kini tertumpu kepada penyata kewangan bagi tahun 2020 diaudit dan laporan tahunan yang akan dikeluarkan oleh pengaudit baharu yang dilantik Serba Dinamik. 

 

"Menerusi laporan tahunan dan juga semakan semula juruaudit baharu ini (ke atas perkara yang dibangkitkan oleh KPMG sebelum ini), dilihat memberi sinar cahaya kepada laporan kewangan syarikat ini," jelas beliau. 

 

Namun, katanya, dengan melihat kepada pelantikan pengaudit yang baru dibuat, terdapat kemungkinan Serba Dinamik tidak mencapai tarikh ditetapkan pada 31 Oktober ini untuk menerbitkan laporan tahunan.

 

"Kami memahami di sebalik peletakan jawatan KPMG sebagai pengaudit luar Serba Dinamik, Bursa Malaysia mahu semakan bebas ini tetap diteruskan. 

 

"Oleh itu, kami tidak sabar menanti hasil daripada semakan ini (kemungkinan dijalankan oleh Ernst & Young Advisory Services Sdn. Bhd.) akan menyediakan maklumat dan fakta lebih jelas," katanya.

 

Meskipun, integriti Serba Dinamik akan terus dipersoalkan, tetapi beliau percaya pelabur tidak sepenuhnya menolak kemungkinan terdapat 'kecacatan' dalam laporan perakauan dan operasi syarikat. 

 

TA Securities memberi saranan 'beli' ke atas saham Serba Dinamik dengan harga sasaran pada 28 sen sesaham.

 

Baca : 4 pengarah Serba Dinamik letak jawatan

 

Terdahulu pada Jumaat lalu juga, dalam beberapa makluman di Bursa Malaysia, syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan itu turut mengumumkan peletakan jawatan lima pengarah bebas bukan eksekutifnya daripada lembaga pengarah yang menyaksikan sahamnya susut 23 peratus ke paras serendah 40 sen sesaham.

 

Mereka ialah ialah Rozilawati Basir, Sharifah Irina Syed Ahmad Radzi, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman, Hasman Yusri Yusoff and Masleena Zaid.

 

Empat daripada mereka meletakkan jawatan atas alasan tidak sependapat dan tidak bersetuju dengan keputusan Serba Dinamik yang mengambil tindakan guaman ke atas KPMG manakala Masleena, yang baru dilantik ke dalam lembaga pengarah itu memberi alasan 'komitmen peribadi'.

 

 

serba dinamik

 

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Steven Chan menyifatkan prestasi kewangan yang direkodkan Serba Dinamik adalah 'mengecewakan' buat kali pertama sejak syarikat itu disenaraikan pada 2017. 

 

"Kami juga menjangkakan tiada bayaran dividen diisytiharkan memandangkan syarikat sebelum ini membayar dividen bagi suku kewangan," tambahnya.

 

Kebiasaannya, Steven berkata, suku pertama merekodkan prestasi yang lemah, tetapi kali ini ia diheret turut dengan aliran kerja yang perlahan terutamanya di Malaysia, dan juga PKP dikuatkuasakan semula.

 

Firma itu memberi saranan 'under review' ke atas Serba Dinamik di sebalik ketidaktentuan yang menyelubungi syarikat ini dengan harga sasaran juga di bawah semakan sehingga situasi benar-benar kembali pulih.

 

Steven berkata, perkembangan terbaharu yang menimpa syarikat berkenaan secara tidak langsung meletakkan syarikat ini di bawah pengawasan yang ketat.

 

"Oleh demikian, walaupun syarikat berjaya mengeluarkan akaun yang diaudit sepenuhnya, tetapi tadbir urus dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang dilaporkan, ia masih menimbulkan pertikaian," katanya.

 

Sehubungan itu, katanya, anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2021/2021 juga dikurangkan antara 8 hingga 9 peratus disebabkan pesanan kerja yang lebih kerja. 

 

Berikutan isu auditnya yang baru-baru ini, Serba Dinamik melihat penilaian kreditnya diturunkan berdasarkan akses pembiayaan yang berkurangan dan ini mungkin meningkatkan risiko pembiayaan bagi sukuk bernilai RM900 juta dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang berakhir Mei 2022.

 

"Dalam hal ini, kami yakin kumpulan mungkin perlu mengambil beberapa langkah bagi melindungi modalnya antaranya, mengurangkan perbelanjaan modal dan menghentikan dividen bagi memastikan pinjamannya kekal terurus," jelasnya.

 

Ketika mengakhiri dagangan tengah hari ini, saham Serba Dinamik susut 14.63 peratus kepada 35 sen sesaham dengan 457 juta saham diniagakan. - DagangNews.com