Siab bakal disenaraikan di Pasaran ACE menjelang suku pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

Siab bakal disenaraikan di Pasaran ACE menjelang suku pertama 2022

 

 


KUALA LUMPUR 22 Dis - Siab Holdings Bhd. menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. yang dijangka suku pertama 2022.   

 

M&A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi melaksanakan langkah tawaran awam permulaan (IPO) ini.

 

IPO bagi syarikat penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan ini membabitkan terbitan awam sebanyak 122.409 juta saham baharu dan tawaran jualan 48.963 juta saham sedia ada bagi penempatan persendirian. 

 

 

siab
Pengarah Urusan, Kewangan Korporat M&A Securities Sdn. Bhd., Datuk Bill Tan (depan, dari kiri) bersama Pengarah Urusan Siab Holdings Bhd., Ng Wai Hoe selepas menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities hari ini.

 

 

Menerusi langkah itu, M&A Securities akan menaja jamin sebanyak 36.722 juta saham baharu untuk rakyat Malaysia dan pengarah kumpulan yang layak, kakitangan individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat.

 

Daripada 122.409 juta saham baharu itu, sebanyak 24.481 juta saham diperuntukkan untuk orang awam melalui pengundian, 12.240 juta saham kepada pengarah, kakitangan dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan 61.204 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala baki 24.481 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Siab, Ng Wai Hoe berkata, dengan menyertai pasaran modal, ia akan membantu mempercepatkan pelan pertumbuhan kerana telah memenuhi hasil IPO untuk mengembangkan keupayaan kumpulan.

 

Katanya, hasil daripada IPO tersebut akan digunakan terutamanya untuk menambahbaik keperluan peralatan dan mesin sejajar dengan pelan masa depan syarikat untuk berkembang dalam aktiviti pembinaan dengan menyertai projek bernilai tinggi. 

 

"Sebahagian daripada hasil IPO ini turut digunakan untuk melaksanakan sistem pemodelan maklumat bangunan selaras dengan rancangan masa depan kumpulan kami dan usaha berterusan dengan menyertai tender lebih banyak projek pembinaan terutama bagi reka bentuk dan binaan," katanya. - DagangNews.com