MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
PADA 5 Oktober lalu, Kumpulan AirAsia mengumumkan syarikat penerbangan tambang murah itu menerima kelulusan Danajamin Nasional Berhad untuk pinjaman sehingga RM500 juta, untuk pulih daripada impak COVID-19.
Pinjaman tersebut, yang 80% dijamin oleh kerajaan Malaysia, adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bagi menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik tersebut.
AirAsia menyatakan ia akan menggunakan pembiayaan Danajamin itu untuk tujuan modal kerja, termasuk kos kakitangan dan operasi utama seperti penyenggaraan pesawat, dengan AirAsia berusaha mempersiapkan diri dengan kebenaran merentas negeri dan penerbangan antarabangsa tidak lama lagi.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Kamarudin Meranun dalam satu kenyataan berkata, `Kelulusan daripada kerajaan Malaysia adalah sokongan padu terhadap keupayaan Kumpulan AirAsia memulihkan diri dan memberi dorongan yang dialu-alukan di dalam strategi meraih dana secara keseluruhannya, ketika kami bersedia untuk kembali terbang ke semua pasaran utama kami’’.
Berita gembira ini disusuli dengan perkembangan baik pada 12 November lalu, dengan AirAsia X (yang paling teruk terjejas antara semua unit di dalam kumpulan AirAsia) mendapat kelulusan 100% untuk pelan penstrukturan semula hutangnya daripada pemiutang skim Kelas A serta C dan 97.6% daripada pemiutang Kelas B, dengan itu menjadikan laluan cadangan hutang syarikat penerbangan yang bermasalah itu semakin jelas.
Wakil syarikat penerbangan itu, Mercury Securities Sdn Bhd berkata, kelulusan itu diperoleh selepas mesyuarat yang diarahkan mahkamah (CCM) yang diadakan dengan tiga kumpulan pemiutang yang berbeza "hadir dan mengundi sama ada secara individu atau melalui proksi" di CCM berkenaan.
Syarikat penerbangan tambah rendah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata ia memerlukan "majoriti 75%" pemiutang skim melalui CCM agar pelan berkenaan diluluskan.
AirAsia X mengadakan tiga mesyuarat pada hari tersebut dengan pemiutang skimnya bagi mengundi pelan untuk menstruktur semula hutang sebanyak RM63.5 bilion.
Matta menyeru
Apa yang kita faham semua di atas, melibatkan AirAsia dan semua entiti yang ia ada hutang seperti bank, syarikat pengeluar pesawat dan juga Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).
Malah pada 10 Nov, Matta telah menyeru AirAsia X mengadakan pelan penstrukturan semula hutang yang lebih adil untuk pengguna dan ejen.
Kegagalan mendapatkan kelulusan pemiutang untuk pelan penstrukturan semula perniagaannya mungkin akan menyaksikan syarikat penerbangan itu dibubarkan, menurut satu laporan yang memetik Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang pada 10 Nov lepas.
Di bawah pelan penstrukturan semula hutangnya, AirAsia X menyasarkan untuk menyusun semula RM63.5 bilion hutangnya kepada pengakuan keberhutangan bagi jumlah prinsipal sehingga RM200 juta dengan melepaskan 99.9% daripada modal saham terbitannya serta cadangan penyatuan saham bagi setiap 10 saham sedia ada dalam syarikat kepada satu saham.
Pengasas dan pengarah syarikat penerbangan itu Tan Sri Tony Fernandes dipetik sebagai berkata: "Kami ingin memberi jaminan kepada semua penumpang yang terjejas oleh penstrukturan semula ini bahawa adalah menjadi hasrat AirAsia X untuk meletakkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit perjalanan, yang boleh digunakan bagi pembelian tiket penerbangan masa depan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula."
Pelanggan sama status pemiutang?
Bab ini ada sedikit masalah terutama bagi pelanggan yang mahu menuntut bayaran balik. Yang menjadi kebimbangan utama ialah walaupun AirAsia menyediakan `kredit perjalanan’.
Tidak diketahui apakah ia akan meliputi keseluruhan harga tunai yang telah dibayar pelanggan atau peratusan tertentu, memaksa pelanggan menambah lagi bayaran.
Dan bila diteliti agenda yang dibentangkan di dalam mesyuarat, tidak secara spesifik menyebut mengenai pelanggan yang membeli tiket. Sebaliknya hanya ada ayat `pemiutang’. Sejak bila pula pelanggan menjadi pemiutang?
MAVCOM bertegas
Inilah punca Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) tampil dengan mengisytiharkan bahawa suruhanjaya itu “dengan jelas dan tidak berbelah-bahagi menggesa AirAsia X Bhd (AAX) menilai semula cadangannya untuk menganggap pengguna perjalanan udara sebagai pemiutang dan hanya membayar 0.5 peratus daripada nilai tiket yang dibeli seperti yang diumumkan pada 18 Oktober 2021.”
MAVCOM berkata, ia "mengambil pandangan bahawa pengguna perjalanan udara tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai pemiutang kerana pengguna perjalanan udara tidak, antara lain, menjual sebarang produk, menyediakan perkhidmatan atau membuat pinjaman kepada AAX tetapi sebaliknya telah membayar wang bagi pembelian tiket sebagai pendahuluan untuk penerbangan mereka.”
Oleh itu, MAVCOM mengulangi pendiriannya bahawa AAX harus membayar balik pengguna perjalanan udara untuk tiket yang telah dibeli.
‘’Jika AAX gagal membayar balik pengguna perjalanan udara yang terjejas dengan sewajarnya, MAVCOM tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasanya di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771),” kata pengawal selia penerbangan awam itu dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya penerbangan itu telah menekankan komitmennya untuk melaksanakan tugasnya di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia bagi memastikan hak pengguna perjalanan udara dilindungi.
Pada 11 November 2021, MAVCOM menghantar surat kepada AAX sebagai tindak balas terhadap pelaksanaan penstrukturan semula hutangnya yang berterusan.
Menurut MAVCOM, "AAX telah berulang kali dalam surat-menyuratnya dengan MAVCOM dan dalam kenyataan mereka kepada orang ramai, memberi jaminan bahawa AAX komited untuk membayar balik pengguna perjalanan udara yang tidak dapat terbang kerana pembatalan penerbangan."
BAIL-OUT sudah dapat, bayar sajalah
Daripada semua di atas, tiada siapa hendak melihat AirAsia dan mana-mana unit di dalam kumpulannya patah sayap untuk terbang. Dalam apa keadaan, semua rakyat berharap syarikat ini yang lahir di Malaysia, boleh pantas pulihkan diri dan kembali memberi perkhidmatan yang dibanggakan dan boleh diharap.
Persoalan membayar balik tiket pelanggan ini, jangan dipandang ringan atau dipinggirkan. Fakta semua tahu bahawa kerajaan Malaysia sudah luluskan bail-out untuk AirAsia, sesuatu yang Malaysia Airlines belum tentu dapat rasai lagi.
Para pemiutang pula positif untuk tidak menekan AirAsia, kerana fakta kerajaan Malaysia memberi bail-out dalam jumlah yang cukup besar. Ini pastinya memudahkan usaha pemulihan AirAsia.
Sebab inilah juga, pelanggan yang mengharapkan bayaran tiket mereka ditebus semula janganlah dinafikan hak mereka. Ini akan menjadi `beban reputasi’ kepada AirAsia selama tidak membayar balik kepada pelanggan.
Boleh ya, AirAsia!
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Fine Young Cannibals - She Drives Me Crazy berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.