4 sektor Malaysia bakal terjejas akibat PKPB | DagangNews Skip to main content

4 sektor Malaysia bakal terjejas akibat PKPB

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hampir empat bulan telah dilonggarkan, sektor perdagangan pengedaran mula menunjukkan pemulihan. 

Ini terbukti apabila indeks jumlah perdagangan pengedaran mencatatkan paras sederhana kepada -2.4% pada Ogos berbanding -3.9% pada Julai 2020, walaupun terdapat penurunan kecil dalam perdagangan borong serta runcit. 

Bagaimanapun, apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan bermula esok sehingga 28 Oktober, tempoh itu akan merencatkan pemulihan ekonomi beberapa sektor yang telah tercapai sebelum ini. 

Empat sektor yang sekali lagi akan terjejas akibat pelaksanaan PKPB adalah bahan bakar bukan runcit, peralatan perumahan, peralatan teknologi maklumat serta kebudayaan dan rekreasi.

“PMI pembuatan Malaysia menunjukkan pemulihan sektor itu telah meningkat dalam jangka masa pendek, berada pada paras 49.0 pada September 2020.

"Pelaksanaan PKPB baharu menjejaskan peningkatan yang diperoleh sebelum ini,” kata CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya.

Prestasi itu dicapai selepas menunjukkan penurunan selama tiga bulan sebelum melonjak pada Jun 2020 apabila sekatan ke atas aktiviti ekonomi dilonggarkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP). 

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur bermula 14 hingga 27 Oktober 2020.

Selain tiga negeri itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengenakan PKPB di seluruh Sabah bermula tengah malam tadi. 

Walaubagaimanapun, semua aktiviti ekonomi masih boleh dijalankan seperti biasa dengan pergerakan sosial dikawal. - DagangNews.com