Akan ada lagikah coup d'etat masa Ismail Sabri ini? | DagangNews Skip to main content

Akan ada lagikah coup d'etat masa Ismail Sabri ini?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

MENELITI kritikan-kritikan terhadap barisan Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada yang menzahirkan kekecewaan kononnya, Perdana Menteri telah terlepas peluang membuat pembaharuan, meneruskan `kerajaan gagal’, malah dipersoal tidak meneruskan kerajaan perpaduan.

 

  1. Nanti sekejap? Kerajaan perpaduan?

 

Bukankah ini gagasan yang dibentangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dua minggu lalu. Bukankah ia telah ditolak mentah-mentah oleh semua parti pembangkang tidak sampai sejam disiarkan di televisyen nasional?

 

Dan bukankah idea kerajaan perpaduan atau bi-partisan (yang kita rakyat marhaen faham sebagai ada wakil pembangkang dilantik jadi menteri dalam kerajaan sekarang) dituduh sebagai cubaan terakhir Muhyiddin untuk bertaut kepada kerusi perdana menterinya?

 

Penolakan semua parti pembangkang, malah fraksi presiden UMNO ke atas idea itu, memaksa Muhyiddin melepaskan jawatan. Itu fakta.

 

Jadi bila giliran Ismail Sabri hendak menubuhkan Kabinet, tiba-tiba cerita `kerajaan perpaduan’ bergema lagi. Naratif keperluan sebuah kerajaan sedemikian dengan Kabinet perang kononnya bagi melawan pandemik ditimbulkan oleh blok pembangkang yang kemudian turut disambut segelintir pemimpin UMNO.

 

Semasa ditawarkan oleh Muhyiddin, blok pembangkang langsung tidak berminat dengan sebarang bentuk kerjasama dengan parti-parti politik lain bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala perancangan dan usaha memerangi COVID-19 dan membawa negara keluar daripada pandemik itu.


 

Muhyiddin



Jadi sudah terang lagi bersuluh sekarang, idea Muhyiddin itu bukanlah sesuatu yang jelik atau luar tabii tetapi merupakan satu daripada jalan keluar daripada perbalahan politik yang merumitkan ketika negara sepatutnya bersatu hati menentang COVID-19.

 

Sejarah akan mencatatkan, idea bi-partisan Muhyiddin ditolak semata-mata untuk menyingkirkan beliau. Bukan kerana idea itu dangkal.

 

2. Kerajaan Gagal?

Memahami psikologi dan tabiat manusia, bila tertekan dan sugul akibat dikurung semasa lockdown yang cukup lama,  satu cara melepaskan geram ialah menyalahkan sesiapa sahaja. Sasaran paling mudah, kerajaan sebab hendak salahkan Tuhan, takut pula dijemput segera bertemu-Nya nanti.

 

Bagi yang membaca, pandemik COVID-19 ini bukan unik di Malaysia atau Asia Tenggara sahaja. Wabak ini melanda seluruh dunia. Yang membaca Al-Quran pun sedar, wabak ini memang disebut bayangannya ketika dunia ini semakin berada di penghujungnya.

 

Benar berlaku kematian dekat dan jauh – orang kampung, jiran sebelah rumah, sahabat handai, ahli keluarga, ibu dan bapa akibat COVID-19 ini. Hendak lepaskan marah kepada siapa?

 

Tetapi jika anda boleh bertenang sebentar, telitilah fakta bahawa tidak satu kerajaan di dunia bersedia menghadapi bencana ini. Perubahan dasar berlaku disebabkan penemuan baharu saban masa. Ada disebabkan didapati varian baru. Ada didapati vaksin Rusia tidak diiktiraf Arab. Kita di tengah-tengah, kena pandai `adjust’ dengan perubahan keadaan.

 

Jika fleksibiliti ini dikaitkan dengan kegagalan, dan ditunjuk pula peningkatan kes baharu mencecah 20,000 sehari, memang `benar lah’ kerajaan kita sudah gagal.

 

Tetapi bertenang sebentar. Lihatlah dasar yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan PN sebelum ini menerusi Pelan Pemulihan Negara yang jelas menampakkan kejayaan terutama dalam aspek pemberian vaksin kepada rakyat.


 

vaksin
Bilangan yang sudak divaksin setakat 28 Ogos 2021.

 

 

Bilangan kes kritikal tahap 3-5 telah mencatat penurunan ketara di wad ICU hospital seluruh negara. Mengapa? Sebab ramai sudah terima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin. Dan menjelang Oktober, dijangka lebih 90% penduduk Malaysia dewasa sudah divaksin.

 

Melihat kepada pemilihan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan baru, menunjukkan Ismail Sabri akan meneruskan Pelan Pemulihan Negara yang dicetuskan oleh Muhyiddin. Tiada isu berbangkit hal ego. Ini hal nyawa rakyat.

 

3. Gagal buat pembaharuan?

Orang yang berpendirian begini, sama ada dia lupa fakta atau lena diulit mimpi. Ismail Sabri jadi perdana menteri, bukan disebabkan UMNO sudah menang pilihan raya umum dan kembali menjadi dominan. Belum. Tunggu PRU15. Insya-Allah tahun depan.

 

Ismail Sabri dipilih jadi PM selepas puak presiden UMNO melakukan pemberontakan ke atas Muhyiddn Yassin. Pemilihan Ismail Sabri sebagai pengganti dipersetujui sebagai calon paling sesuai berbanding yang lain kerana bebas daripada `bagasi berat’.

 

Lainlah kalau UMNO menang besar, lebih 80 kerusi dalam PRU15, maka bolehlah letak kembali semua orang-orangnya menduduki jawatan kerajaan. Tetapi untuk masa sekarang, komposisi kerajaan adalah tiada siapa majoriti, tiada siapa minoriti. Cuma di dalam Bersatu ada dua puak. Dalam UMNO ada tiga puak. Jadi bagaimana hendak uruskan benda ini?

 

Caranya ialah seperti apa yang kita lihat semasa pengumuman barisan Kabinet pada 27 Ogos lalu. Tidak banyak berubah. Keseimbangan wakil parti tetap sama. Ya Pas dan GPS ada tambah sedikit. Kena jaga baik-baik, mereka ini setia dalam gagasan kerajaan Perikatan Nasional.

 

 

NorainiAhmad

 

 

Yang nyata, pelantikan semula Datuk Noraini Ahmad di Kementerian Pengajian Tinggi menimbulkan kontroversi sebab beliau adalah antara dua menteri UMNO yang meletak jawatan atas keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin.

 

Seorang penganalisis politik, Abdul Jalil Backer beranggapan ‘’Noraini meletak jawatan hanya kerana ia keputusan parti, bukan kerana perbezaan pendapat dengan kerajaan.

 

‘’Oleh kerana Noraini adalah Ketua Wanita UMNO, Ismail Sabri perlu mengambil kira kedudukan beliau dan memastikan kerajaan pimpinannya turut mendapat dokongan UMNO, salah satu parti utama,’’ katanya.

 

4. Apakah akan ada lagi coup d'etat ?

Kemungkinan itu ada. Tetapi jika ada pun, bukan didorong sangat oleh cita-cita peribadi Ismail Sabri tetapi faktor puak-puak di dalam UMNO.

 

Ismail Sabri adalah ahli politik yang munasabah, bukan jenis warlord yang kerjanya asyik hendak menakluk kampung sebelah.

 

Apakah Bersatu pula akan goncang kerajaan Ismail Sabri? Kemungkinan ini pun tipis disebabkan faktor Ismail Sabri difahami memiliki komunikasi berhemah dengan Muhyiddin.

 

 

PM
SELANG berapa jam selepas mengangkut sumpah pada 20 Ogos lalu, Ismail Sabri datang bertemu Muhyiddin di kediamannya. Isyarat ini menandakan keakraban mereka berdua. 

 

Dan lagi kedua-duanya tidak mempunyai isu-isu baggage yang merumitkan persepsi orang ramai untuk menyandarkan harapan kepada mereka.

 

Jadi, marilah fokus tangani pandemik COVID-19 dan ketepikan dulu perang politik. Ya, kami maksudkan sidang Dewan Rakyat nanti, tidak usahlah menjerit-jerit lagi. Tolonglah.

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu R.E.S.P.E.C.T oleh ARETHA FRANKLIN  berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.