Amerika Syarikat hentikan sekatan import Supermax, Kenanga Research unjur prospek tidak berubah | DagangNews Skip to main content

Amerika Syarikat hentikan sekatan import Supermax, Kenanga Research unjur prospek tidak berubah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Sept - Prospek Supermax Corporation Berhad tidak akan meningkat secara ketara walaupun Amerika Syarikat (AS) telah menghentikan sekatan import sarung tangan getah, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan tersebut sederhana positif memandangkan AS menyumbang 20% daripada jumlah jualan kumpulan itu, namun berpendapat bahawa ia tidak akan meningkatkan prospek syarikat secara bermakna disebabkan kemerosotan sektor akibat kapasiti berlebihan yang besar.

 

 

BACA JUGA: Amerika Syarikat hentikan sekatan import sarung tangan getah Supermax selepas hampir 2 tahun

 

 

Firma itu menjangkakan persekitaran operasi akan kekal mencabar pada suku-suku berikutnya, dibelenggu lebihan bekalan yang besar.

 

Sementara kumpulan itu meramalkan pemulihan pada lewat 2024, Kenanga Research menjangkakan situasi lebihan bekalan akan menjadi kurang meruncing dan beransur-ansur bertambah baik berikutan petanda pemain mengurangkan kapasiti pengeluaran melalui pelupusan kilang.

 

“Berdasarkan anggaran kami, situasi permintaan-bekalan hanya akan mula seimbang pada tahun 2025, apabila hampir tiada lagi aliran kapasiti baharu sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat 15% setahun, disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research berkata Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan pertumbuhan permintaan global untuk sarung tangan getah sebanyak 12% hingga 15% setiap tahun dari 2023, berikutan anggaran penguncupan 19% kepada 399 bilion keping pada 2022.

 

“Persatuan tersebuat percaya permintaan-bekalan seimbang semula dalam enam hingga sembilan bulan. Bagaimanapun, kami berbeza pendapat, di mana keadaan lebihan kapasiti dijangka berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang,” tambahnya.

 

Firma tersebut mengunjurkan permintaan sarung tangan meningkat 15% pada 2023, selaras dengan ramalan MARGMA.

 

Dari segi penawaran, firma itu telah mengambil kira pengurangan 24 bilion keping sarung tangan dalam sistem menjelang akhir FY23, menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 112 bilion keping yang serupa dengan tahun 2022.

 

Walaupun bertambah baik, firma itu berkata lebihan kapasiti masih berterusan, yang bermakna harga rendah dan tekanan penggunaan kilang akan terus melanda industri sehingga akhir tahun ini.

 

Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘market perform’ terhadap Supermax namun harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 85 sen sesaham daripada 80 sen, sebahagian besarnya untuk mencerminkan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih baik.

 

Pada pukul 10:42 pagi ini, saham Supermax telah menokok 1 sen atau 1.2% kepada 86.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM2.35 bilion.  - DagangNews.com