AmInvestment kekal saranan 'pegang' terhadap Chin Teck Plantations dengan FV RM7.75 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'pegang' terhadap Chin Teck Plantations dengan FV RM7.75

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Chin Teck Plantations Berhad dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM7.55 sesaham.

 

Firma itu berkata, saranan itu dibuat berdasarkan pengumuman kumpulan itu mengenai cadangan pengambilalihan Fauzi-Lim Plantation berubah kepada pengambilan tidak bersyarat dan ia dijangka selesai pada 31 Januari 2023. 

 

"Kami mengulangi saranan bahawa cadangan pengambilalihan itu dijangka tidak akan menyumbang dengan ketara kepada keuntungan bersih FY23 kumpulan itu.

 

"Ini berikutan saiz ladang kelapa sawit Fauzi-Lim hanya seluas 2,023 hektar dan ladang yag terletak di Gua Musang itu hanya mengeluarkan 3,250 tan buah tandan segar (BTS) pada FYE3/22 atau 1.8% jumlah pengeluaran BTS kumpulan pada FYE8/22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, ladang yang diperoleh tidak mungkin memberi keuntungan pada FY23F disebabkan oleh hasil BTS yang rendah dan kos pengeluaran yang tinggi.

 

Katanya, kos pengeluaran untuk syarikat perladangan dijangka meningkat sebanyak 20% hingga 30% pada 2023 berikutan kenaikan kos upah dan baja.

 

Firma itu berkata, kumpulan akan membuat pembayaran pajakan kepada Yayasan Islam Kelantan selepas selesai pengambilalihan.

 

"Berdasarkan harga  minyak sawit mentah (MSM) semasa, kami menganggarkan bayaran pajakan ialah RM1.5 juta pada asas setahun penuh.

 

"Fauzi-Lim Plantation tidak memiliki ladang tersebut. Sebaliknya, ia memajak ladang daripada Yayasan Islam Kelantan.

 

"Kumpulan itu dijangka tidak menghadapi masalah membiayai pemerolehan RM45 juta itu kerana mereka mempunyai rizab berjumlah RM395.1 juta pada akhir Ogos 2022," katanya. - DagangNews.com