AmInvestment semak naik penarafan Pentamaster kepada 'beli' dengan FV RM4.03 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak naik penarafan Pentamaster kepada 'beli' dengan FV RM4.03

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - AmInvestment Bank Research menyemak naik penarafan Pentamaster Corp Berhad kepada 'beli' berbanding 'pegang' dengan harga wajar (FV) lebih tinggi RM4.03 berbanding RM3.52 sesaham.

 

Firma itu berkata, unjuran pendapatan kumpulan itu tidak berubah untuk FY22 namun mereka menaikkan unjuran pendapatan sebanyak 14% hingga 16% kepada RM125 juta bagi FY23F dan RM139 juta untuk FY24F.

 

"Unjuran itu dibuat berdasarkan perkembangan tempahan yang lebih kukuh berbanding jangkaan dan purata harga jualan (AS) yang lebih tinggi yang membolehkan kumpulan itu mengekalkan margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 23% dalam situasi inflasi semasa.

 

"Pada masa sama mengekalkan margin EBIT stabil pada paras 25% bagi FY23F serta tahun kewangan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, Pentamaster merekodkan untung bersih sebanyak RM20.4 juta berbanding RM16.07 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

BACA JUGA: Segmen ATE, FAS pacu peningkatan pendapatan Pentamaster pada Q1 sebanyak RM146.02 juta

 

BACA JUGA: Prospek Pentamaster masih kukuh, AmInvestment naikkan FV kepada RM3.52

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 26.8% kepada RM146.02 juta daripada RM115.17 juta bagi tempoh sama 2021.

 

Peningkatan itu terutamanya didorong menerusi segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan penyelesaian automasi pengilangan (FAS) masing-masing merangkumi 78.3% dan 21.6% daripada hasil kumpulan pada suku semasa.

 

Firma itu juga positif terhadap prospek kumpulan itu terutama selepas merekodkan keputusan yang baik dalam segmen automotif. 

 

Ini terutamanya menerusi usaha kumpulan mempelbagaikan portfolio merentasi segmen pasaran dan mengembangkan pangkalan pelanggan.

 

"Selain itu, pertumbuhan FAS terus disokong oleh pelaksanaan industri 4.0 dan juga kedudukan strategik kumpulan untuk meraih pertumbuhan kukuh dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) utama, antaranya, Jepun," katanya. - DagangNews.com