Anak syarikat TDM fail semakan kehakiman keputusan Mahkamah Agung Indonesia dalam kes pembakaran hutan | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat TDM fail semakan kehakiman keputusan Mahkamah Agung Indonesia dalam kes pembakaran hutan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Jun - TDM Berhad hari ini memaklumkan subsidiarinya di Indonesia telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Agung Republik itu yang sebelum ini menolak rayuan PT Rafi Kamajaya Abadi (PTRKA) terhadap arahan membayar ganti rugi 189 billion rupiah (RM56.6 juta) kepada Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia (MEF).

 

Keputusan rayuan tersebut sebelum ini dibuat pada 3 Julai 2023 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pontianak.

 

Ia bermula dengan tuntutan sivil Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia ke atas subsidiari TDM setelah tuduhan terbabit dalam insiden pembakaran hutan pada tahun 2019 di tanahnya di Kalimantan Barat.

 

"Lembaga Pengarah TDM Berhad ingin mengumumkan bahawa TDM Berhad telah diberitahu oleh anak syarikatnya di Indonesia, PTRKA bahawa peguam guamnya pada 12 Jun 2024 telah mengemukakan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Agung bertarikh 3 Julai 2023.

 

"Pengumuman lanjut akan dibuat sejurus ada perkembangan penting berkenaan dengan perkara di atas," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Agung Indonesia arah anak syarikat TDM bayar ganti rugi RM56.68 juta atas tuduhan pembakaran hutan

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia 3 November 2023, TDM berkata, selain ganti rugi RM56.6 juta, PTRKA juga akan perlu mengeluarkan sejumlah 731.04 bilion rupiah (RM219.25 juta) untuk kerja-kerja pemulihan alam sekitar di kawasan yang terjejas seluas 2,560 hektar dan untuk mengaktifkan semula sistem ekologi yang terjejas.

 

Ini setelah rayuan berkenaan kerja-kerja pemulihan juga ditolak Mahkamah Agung Indonesia. - DagangNews.com