Kumpulan anti vaksin menunjuk perasaan di New York. - Gambar Anadolu Agency
MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memberi peringatan kepada majikan di negara ini supaya tidak mendiskriminasi terhadap pekerja mereka yang enggan divaksinasi, sebaliknya menggunakan pendekatan lembut.
Saya baca dengan teliti kenyataan media suruhanjaya ini supaya tidak terbawa-bawa emosi, sebaliknya mahu mengerti secara intelektual apa yang dimaksudkan oleh Suhakam. Kita elak jadi Netizen - `baca tajuk saja terus belasah'.
‘’Kami mengingatkan majikan supaya tidak mengenakan perintah mandatori keperluan vaksinasi ke atas pekerja mereka atau menghukum mereka yang enggan divaksinasi.
‘’Sebaliknya, majikan disaran menawarkan insentif bagi menggalakkan pekerja mereka divaksinasi,’’ kata Suhakam.
Kenyataan media suruhanjaya ini sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bahawa majikan berhak untuk mengarahkan pekerja mereka mengambil vaksin COVID-19 bagi mengelakkan virus itu merebak di tempat kerja.
Masalah yang semua orang tahu dan menjadi pendinding kepada golongan anti-vaksin ialah tiada sesiapa atau undang-undang pun boleh mewajibkan sesiapa mengambil vaksin.
Paling dekat pun Akta Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan 1994 (OSHA) yang menyebut majikan berhak mengadakan polisi-polisi keselamatan dan kesihatan bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.
Malangnya, disebabkan tidak disebut secara spesifik `COVID-19’, ada pihak khuatir ia akan tewas dalam penghujahan di mahkamah. OSHA digubal 1994. COVID muncul 2019. Nak kena pinda OSHA di Parlimen, nampaknya. Itu pun kalau ada kemahuan politik untuk mempercepatkannya.
Sementelahan peringatan Suhakam ini wajar bila dilihat sebagai `hak menyuarakan hak asasi golongan penolak vaksin', tetapi bagi majoriti rakyat Malaysia, penolak vaksin ini dilihat sebagai di luar akal fikiran dan kenapa harus dilayan pun mentaliti sedemikian.
‘’Dapat 2 dos vaksin pun tak jamin tak kena COVID-19!’’. Atau ‘’Sudah divaksin pun mati tetap mati!’’ – antara pernyataan kurang sekolah yang saya terbaca di media sosial.
Kenapa vaksin penting? Logiknya mudah. Bila sudah divaksin, ia mengurangkan risiko pesakit menjadi sangat teruk iaitu Tahap 3 hingga 5. Tapi untuk memperlekeh mengatakan ada vaksin pun masih kena virus, rasanya kita berdepan dengan manusia zaman batu.
Mereka adalah golongan yang tak makan pujuk rayu, tak makan rasional, tak faham bukti saintifik dan Suhakam menyarankan dibuat insentif?
Hendak insentif bagaimana kerana penolakan vaksin bukan kerana faktor duit atau ganjaran yang dikejar. Sebaliknya penolakan itu kerana ideologi, kerana fahaman serong dalam minda.
Hendak insentif bagaimana bila ia melibatkan bab kepercayaan diri? Kalau cerita fahaman politik, boleh saja dimasukkan mengikuti kursus percuma 2 tahun di Institut ISA, Kamunting. Alamak maaf... ISA pun sudah tiada.
Dalam konteks `common sense’, bila kita mengetahui seseorang individu itu tidak mahu divaksin, apakah anda bersedia berada sebilik dengannya? Betullah kita yang sudah divaksin, tahap risiko kepada dia sangat rendah. Masalahnya, tahap risiko dia kepada kita itu sangat tinggi.
Bayangkan peningnya kepala bila membaca ada golongan pendidik pun terang-terang menolak. Sekolah bakal dibuka 3 Oktober ini di negeri Fasa 4. Kalau guru penolak vaksin dibiar mengajar atau berada dalam kawasan sekolah, anak-anak kita yang belum divaksin amat-amat terdedah kepada risiko COVID-19.
Dan jika anak kita sudah pun divaksinasi, guru penolak vaksin tidak wajar berada dalam kawasan sekolah sama sekali. Jangan izinkan selagi mereka tidak mahu divaksinasi.
Bayangkan guru begini akan mempengaruhi pula minda para pelajar di dalam kelas masing-masing. Ini sangat-sangat menakutkan!
Jika hak asasi manusia atau pekerja itu dilaungkan, kita sebagai yang sudah divaksin juga harus bersuara menuntut hak asasi kita supaya golongan penolak vaksin duduk di rumah sahaja, jangan datang ke tempat kerja.
Berdasarkan pendirian yang disuarakan oleh kerajaan, sememangnya mahu seluruh lapisan rakyat menjalani proses vaksinasi.
Sekurang-kurangnya dalam konteks ini, kita tahu kerajaan amat maklum sensitiviti dan sentimen rakyat yang mahukan semua divaksinasi.
Jika dia rasa boleh berkhidmat dengan cekap dari rumah, berbanding mereka yang sudah divaksin dan hadir di tempat kerja, itu nasib masing-masinglah. Siapa suruh tidak mahu divaksin?
Mungkin, dalam keadaan tertentu, ada sebilangan yang tidak dapat divaksin kerana komplikasi kesihatan yang sedia ada ditanggungnya. Ada terbaca kumpulan penderita kanser tertentu, tidak dapat divaksin begitu sahaja sebaliknya perlu dipantau dengan teliti oleh doktor masing-masing. Ini kita faham. Amat faham.
Yang kita tidak faham ialah mereka yang menolak bulat-bulat. Tidak cukup dengan itu, mereka pastikan pendirian mereka itu disebar luas menerusi media sosial. Untuk apa? Untuk menjustifikasi tindakan mereka supaya orang ramai bersimpati?
Maaf, tiada simpati. Pandemik COVID-19 adalah benar. Jangkitan virus COVID-19 adalah benar. Sakit derita virus COVID-19 adalah benar. Mati disebabkan COVID-19 adalah benar. Apa lagi cara hendak dinafikan oleh golongan anti vaksin?
Saya bukan menyarankan supaya diskriminasi diteruskan terhadap penolak vaksin. Saya hanya menyarankan supaya hak asasi majoriti penerima vaksin lebih dititikberatkan.
Jadi jika anda rasa anda didiskriminasi selepas ini, tidak dibenarkan masuk pejabat atau kilang, janganlah anda tersinggung. Kalau rasa hendak berhenti kerja, silakan.
Carilah kerja di pejabat, kilang atau majikan yang sama-sama anti vaksin. Senang polis dan tentera buat pagar kawat keliling bangunan nanti.
Akuilah disebabkan anda tidak divaksin, anda adalah pembawa risiko COVID-19. Tidak usah bawa muka tak bersalah. Tolonglah jangan degil. Pergilah ambik vaksin. Tak sakit pun jarum suntikan. Lebih sakit bila kena virus nanti.
PALING TERKINI : Guru enggan divaksin mungkin ditukar, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Kashmir - Led Zeppelin berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.