Awesome TV pertikai tindakan MYTV gantung siaran, dakwa masih boleh beroperasi hingga Ogos 2025 | DagangNews Skip to main content

Awesome TV pertikai tindakan MYTV gantung siaran, dakwa masih boleh beroperasi hingga Ogos 2025

KUALA LUMPUR 20 Okt - Awesome TV mempertikai penggantungan stesen televisyen berkenaan menerusi platform MYTV berikutan kedua-dua pihak masih dalam proses rundingan.

 

Stesen itu memaklumkan bahawa pihaknya sebagai syarikat pemula mendapat layanan tidak adil daripada MYTV, katanya dalam satu kenyataan kepada mStar.

 

Ia berikutan pihaknya dikenakan bayaran lebih tinggi berbanding stesen televisyen percuma lain untuk tempoh 30 bulan penggunaan platform MYTV.

 

Malah berdasarkan pembayaran yang dibuat, Awesome TV mendakwa masih boleh bersiaran hingga Ogos 2025.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: MYTV gantung Awesome TV atas sebab `isu komersial berterusan' mulai 2 November 2023

 

 

Stesen televisyen swasta berkenaan juga turut dinafikan subsidi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

 

Sementara itu, Awesome TV turut berpandangan bahawa bayaran yang dikenakan MYTV tidak berbaloi memandangkan hampir 80% daripada penonton mereka adalah dari platform televisyen satelit.

 

Jumlah penonton MYTV dianggarkan hanya serendah tujuh juta orang berbanding jumlah penonton televisyen Malaysia sebanyak 23 juta orang.

 

Statistik tersebut berdasarkan data penonton digital TV oleh Badan Bebas Kaji Selidik Nielsen TV Audience Measurement yang diiktiraf oleh 'Malaysian Advertisers Association', 'MediaSpecialist Association' dan stesen televisyen.

 

Justeru itu, Awesome TV berharap MYTV akan memberi layanan yang sama rata seperti stesen televisyen swasta baharu yang lain agar keadilan ditegakkan.

 

Terdahulu, MYTV memaklumkan Awesome TV digantung penyiaran berkuat kuasa 2 November ini disebabkan isu pembayaran akses.

 

Menerusi sebuah kenyataan media, MYTV memaklumkan pelbagai usaha telah dilakukan kedua-dua pihak namun tidak bertemu jalan penyelesaian. - DagangNews.com