Berdepan saman Serba Dinamik, Bursa Malaysia berhak kuatkuasakan peraturan penyenaraian | DagangNews Skip to main content

Berdepan saman Serba Dinamik, Bursa Malaysia berhak kuatkuasakan peraturan penyenaraian

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Bursa Malaysia Securities menegaskan, sebagai pengawal selia pasaran modal, pihaknya berhak melaksanakan kuasa mengikut keperluan penyenaraian demi kepentingan mengekalkan pasaran yang teratur dan adil.

 

Dalam satu kenyataan sebagai maklum balas kepada tindakan undang-undang yang diambil oleh Serba Dinamik Holdings Bhd, Bursa berkata, ia akan mempertahankan kedudukannya dengan bersungguh-sungguh dan tidak akan melepaskan peranan dan fungsi berkanunnya di pasaran. 

 

"Pendedahan maklumat material yang tepat pada masanya adalah tonggak utama untuk memastikan pasaran dimaklumkan dengan baik mengenai maklumat tersebut dan semua pelabur dilayan sama rata dan mampu berdagang dengan kedudukan yang sama dari segi pendedahan pariti.

 

"Ini amat penting untuk membolehkan Bursa Securities menunaikan kewajipan berkanunnya," kata Bursa dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas ia menerima dokumen undang-undang yang merangkumi saman pemula, Notis Permohonan untuk Injunksi Interim serta afidavit yang disahkan oleh Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Serba Dinamik Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohammed pada 3 November 2021 untuk menyokong tuntutan mahkamah.

 

Menurut kenyataan itu lagi, Bursa telah menghubungi peguam untuk menasihati perkara ini dan tindakan seterusnya. 

 

"Bursa Securities akan mempertahankan kedudukannya dengan bersungguh-sungguh dan tidak akan melepaskan peranan dan fungsi berkanunnya di pasaran," tegasnya.

 

Serba Dinamik Holdings Berhad memfailkan saman terhadap Bursa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 November lalu.

 

BACA JUGA: Serba Dinamik fail saman terhadap Bursa Malaysia 

 

Ia mendakwa bursa telah bertindak `melampaui’ bidang kuasa apabila menggantung dagangan saham syarikat itu.

 

Isu ini bermula daripada kebimbangan yang dibangkitkan terhadap proses audit Serba Dinamik sejak Mei lalu.  

 

Pengerusi Serba Dinamik, Dato’ Mohamed Ilyas berkata, bursa tidak ada kuasa untuk mengarah Serba Dinamik, apa lagi menggantung saham Serba Dinamik yang tidak mengikut prosedur dan melanggar peraturan keadilan.

 

Dalam tuntutan tersebut, Serba Dinamik meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa arahan bursa dan juga penggantungan dagangan sahamnya adalah dibatalkan.

 

Syarikat juga  meminta bursa ditegah daripada mengambil sebarang tindakan untuk mengumumkan atau sebahagian daripada ‘Perkembangan Terkini Dapatan Fakta’ dan mengeluarkan sebarang arahan kepada Serba Dinamik untuk melantik sesiapa untuk berperanan sebagai auditor khas syarikat, menilai atau menyiasat urusan mereka bersama dengan arahan penamatan penggantungan saham syarikat di Papan Utama. DagangNews.Com