Berjaya Food dijangka berdepan tekanan jualan kesan daripada sentimen pengguna yang lemah, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Berjaya Food dijangka berdepan tekanan jualan kesan daripada sentimen pengguna yang lemah, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Berjaya Food Berhad dijangka berdepan tekanan dari segi jualan kesan daripada sentimen lemah daripada pengguna.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, bagaimanapun ekuiti jenama yang kukuh dan inovasi produk minuman boleh menampan sebahagian jualan yang lemah dan mengekalkan jejak kedai yang stabil

 

"Kami percaya bahawa sentimen pengguna kekal lemah pada 1QFY24 dengan perbelanjaan pengguna yang lebih ketat dan trend penurunan dagangan yang muncul akibat tekanan inflasi makanan.

 

"Bagi mengatasinya, kami memerhatikan aktiviti promosi yang lebih kerap dan pilihan minuman bermusim baharu di Starbucks untuk memacu jejak kedai," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu akan terus memberi fokus kepada penukaran beberapa sistem yang dikenadlikan secara manual kepada digital (termasuk perisian SAP) bagi meningkatkan kecekapan operasi pada masa akan datang.

 

Katanya, kumpulan itu sudah memperuntukkan RM15 juta bagi tujuan pelaburan digital.

 

"Dengan perubahan terkini dalam Akta Pekerjaan yang menaikkan gaji lebih masa untuk pekerja, syif kakitangan tetap telah berkurangan.

 

"Oleh itu, BFD mungkin perlu mengambil kakitangan sambilan tambahan bagi menambah jam bekerja oleh kakitangan tetapnya sebelum ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 65 sen sesaham. - DagangNews.com