Bintai Kinden terima Cadangan Penyelesaian Interim Kolej Teknologi Islam Melaka berhubung hutang tertunggak sebanyak RM58.6 juta | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden terima Cadangan Penyelesaian Interim Kolej Teknologi Islam Melaka berhubung hutang tertunggak sebanyak RM58.6 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jan - Optimal Property Management Sdn. Bhd. (OPM), anak syarikat milik penuh Bintai Kinden Corporation Berhad menerima Cadangan Penyelesaian Interim (ISP) bersama Kolej Teknologi Islam Melaka Berhad (KTIMB) berhubung hutang tertunggak sebanyak RM58.6 juta sebagai pada Disember 2023.



Menerusi perjanjian itu, pembayaran segera sebanyak RM1.5 juta akan dibuat kepada OPM menjelang 30 Januari 2024 dan ansuran selama enam bulan sebanyak RM250,000 berjumlah RM1.5 juta bermula Januari hingga Jun tahun ini.

 

Sebagai sebahagian daripada syarat ISP, KTIMB bersetuju untuk menyediakan penyelesaian muktamad bersama syarikat itu selewat-lewatnya pada 31 Mei 2024 dengan menilai 3 pilihan iaitu:


1. penamatan perjanjian pemegang konsesi semasa (CA),

2. kemungkinan pengambilalihan OPM oleh KTIMB atau entiti yang ditetapkan pada penilaian yang dipersetujui atau

3. penstrukturan semula hutang serta caj berkaitan CA yang belum dijelaskan.


 

kuim

 


Syarikat itu juga mengumumkan kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini mengenai cadangan penempatan persendirian sehingga 281.5 juta saham biasa baharu, berjumlah 30% daripada jumlah saham yang diterbitkan.

 

Kelulusan itu adalah bukti keyakinan pemegang saham terhadap hala tuju strategik syarikat dan keupayaan pengurusan untuk mengemudi Bintai Kinden ke arah pertumbuhan dan kemampanan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bintai Kinden teruskan bayaran balik Pinjaman Berjangka-i Islam selepas penuhi semua syarat CRI ditetapkan MBSB Bank

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Datuk Tay Chor Han berkata, kelulusan daripada pemegang saham semasa EGM dan ISP bersama KTIMB merupakan perkembangan penting kepada kumpulan.

 

"Walaupun ia mengesahkan lagi kesahihan CA oleh OPM, kelulusan pemegang saham menunjukkan kepercayaan pemegang saham terhadap hala tuju kami.

 

"Memandangkan pengurusan baharu terus memacu perkembangan kumpulan, langkah-langkah ini perlu dalam meletakkan asas yang kukuh bagi kestabilan kewangan Bintai Kinden serta pertumbuhan dan kestabilan masa depan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bintai Kinden komited untuk melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan bagi meningkatkan kedudukan syarikat dan menyampaikan nilai kepada pemegang saham bagi jangka panjang. - DagangNews.com