Bonia beli dua tanah bernilai RM49.35j | DagangNews Skip to main content

Bonia beli dua tanah bernilai RM49.35j

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bonia Corporation Berhad (Bonia) menerusi anak syarikatnya Casa Bologna Sdn. Bhd. (CBSB) mengumumkan akan membeli dua bidang tanah daripada Capital Land Sdn. Bhd. (CLSB).

Kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) pada 17 Ogos lalu dengan jumlah harga pembelian bernilai RM49,351,830.00.

Tanah yang pertama terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur  dan ketika ini diberi sewa kepada pengendali restoran, Paris RCG Sdn. Bhd. (PRCG).

Tanah yang kedua pula terletak di Jalan Delima, Kuala Lumpur dan kedua-duanya merupakan tanah pegangan kekal.

Bonia menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, sebelum pelaksanaan SPA, sebanyak RM987,036.60 telah dibayar oleh CBSB kepada CLSB sebagai deposit.

“Setelah pelaksanaan SPA, sebanyak  RM2,467,591.50 dibayar sebagai baki deposit dan RM1,480,554.90 jumlah pengekalan cukai keuntungan hartanah telah dibayar kepada peguam CBSB sebagai pihak berkepentingan. 

“Baki harga pembelian sebanyak RM44,416,647.00 akan dibayar dalam tempoh tiga bulan dari tarikh SPA di mana CLSB perlu menyerahkan lanjutan 1 bulan secara automtik dari tarikh tamat,” jelas Bonia. 

Dalam pada itu, harga permbelian akan dilakukan secara tunai yang dibiayai oleh dana dan pinjaman bank kepada CBSB. 

Sebagai sebahagian daripada pemilikan saham dalam CBSB, Bonia turut memberikan wang pendahuluan kepada anak syarikatnya itu sebanyak RM3,207,868.95 untuk menyelesaikan bayaran deposit.

“Bonia dan CBSB berpendapat bahawa harga pembelian berkenaan berpatutan. Perolehan tanah ini merupakan peluang yang baik buat kedua-dua syarikat untuk menikmati peningkatan modal dan pendapatan daripada sewa susulan lokasi yang strategik. 

“Selain itu, Bonia dan CBSB juga dapat meningkatkan sumber dan aliran pendapatan daripada pembelian tanah berkenaan,” tambah Bonia. 

Setelah SPA selesai, kedua-dua tanah berkenaan akan didaftarkan atas nama CBSB. 

CBSB dalam usaha untuk memperbesar modal berbayarnya dan Bonia yang merupakan pemegang saham syarikat itu melanggan 65% kepentingan ekuiti bersamaan 6,500 saham biasa. - DagangNews.com