Brunei pasaran eksport pertama Proton X70 2020 | DagangNews Skip to main content

Brunei pasaran eksport pertama Proton X70 2020

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Negara jiran, Brunei Darussalam sekali lagi diangkat sebagai pasaran eksport pertama bagi Proton X70 model 2020 (Proton X70 2020). 

Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 2020 yang dibina di Tanjung Malim, Perak sebelum ini telah dilancarkan di Brunei pada 6 September lepas. 

Pada tahun 2019, Brunei menjadi pasaran eksport pertama untuk menerima Proton X70.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah yakin bahawa kombinasi ciri-ciri inovatif serta peralatan keselamatan yang menyeluruh pada X70 baharu itu akan berjaya menarik perhatian pembeli kereta bukan sahaja di Brunei, malah pasaran di seluruh dunia.

 

Roslan Abdullah
Roslan Abdullah

 

“PROTON teruja dengan model Proton X70 2020 buatan Malaysia telah dilancarkan di pasaran eksport pertama kerana jualan eksport memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan jumlah jualan keseluruhan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Seperti model pendahulu, Proton X70 2020 mempunyai tiga variasi (Standard, Executive dan Premium X) untuk pasaran Brunei dan akan dijual dengan jaminan selama lima tahun tanpa had jarak tempuh.

Semenjak pelancarannya pada bulan Februari 2020, Proton X70 2020 merupakan pilihan paling popular dalam kalangan pembeli SUV di Malaysia. 

Pada akhir bulan Ogos 2020, sebanyak 12,732 unit telah dijual bersamaan dengan 25.9% pegangan pasaran SUV di seluruh Malaysia. 

Model pendahulu Proton X70 termasuk dalam tiga tangga teratas bagi segmennya di Brunei, walaupun ia dijual selama setahun sahaja. 

Brunei tidak terlepas dari jangkitan wabak COVID-19 tetapi jumlah penjualan industri automotif pada akhir bulan Julai 2020 telah berjaya mencatatkan jualan sebanyak 7,609 unit, menunjukkan trend jualan yang setanding dengan jumlah jualan tahun lepas. - DagangNews.com