Chin Hin, Atlan bekerjasama laksana pembangunan bercampur bernilai lebih RM478 juta di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

Chin Hin, Atlan bekerjasama laksana pembangunan bercampur bernilai lebih RM478 juta di Johor Bahru

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) memeterai perjanjian kerjasama dengan Atlan Holdings Bhd bagi pembinaan projek pembangunan bercampur di Johor Bahru dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM478.42 juta.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, CHGP berkata, pembangunan itu akan diterajui oleh anak syarikat milik penuhnya Chin Hin Property (Stulang) Sdn Bhd (CHPSSB) dengan kerjasama anak syarikat tidak langsung Atlan, Kelana Megah Sdn Bhd (KMSB).

 

Projek dibina di atas tanah pajakan seluas 4.29 hektar itu dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2025 (3Q2025) dan dijangka siap pada 3Q2029.

 

Ia akan menampilkan dua blok apartmen servis, berjumlah 1,260 unit kediaman, 10 lot runcit dan tempat letak kereta bertingkat. 

 

CHPSSB akan menguruskan dan mempunyai kawalan penuh projek itu.

 

“Untuk tujuan projek, kedua-dua pihak bersetuju CHPSSB mempunyai kawalan dan pengurusan penuh serta menyelesaikan setiap fasa projek mengikut terma tertakluk kepada syarat perjanjian,” kata CHPSSB.

 

Projek tersebut akan meminda pelan pembangunan sedia ada yang pada mulanya diluluskan untuk empat blok pangsapuri servis, 14 lot kedai dan tempat letak kereta bertingkat, di mana KMSB sebelum ini telah mendapat kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor pada 16 Jan 2018.

 

Pelan yang disemak itu akan mencerminkan konsep pembangunan baharu yang dipersetujui oleh KMSB dan CHPSSB. - DagangNews.com