COVID-19 heret untung bersih Q4 Maybank susut 37.2%  | DagangNews Skip to main content

COVID-19 heret untung bersih Q4 Maybank susut 37.2% 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kerugian rosot nilai yang lebih tinggi akibat pandemik COVID-19 menyebabkan Malayan Banking Berhad (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih suku tahun berakhir 31 Disember 2020 (4Q20) 37.2% lebih rendah kepada RM1.54 bilion. 

 

Bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu menyaksikan kerugian rosot nilainya melonjak daripada RM298.9 juta pada tahun kewangan 2019 (FY19) kepada RM1.50 bilion pada FY20, menurut Maybank dalam sebuah kenyataan. 

 

Jelas Maybank, pada suku berkenaan, kumpulan syarikat menyaksikan pendapatan operasi bersih merosot 2.8% kepada RM6.31 bilion daripada RM6.49 bilion pada 4Q19, memandangkan lonjakan 0.1% dalam pendapatan yuran bersih tidak mampu mengimbangi 4.0% penurunan dalam pendapatan dana bersih. 

 

“Disebabkan itu, keuntungan operasi pra peruntukan (PPOP) menyusut 2.9% kepada RM3.42 bilion berbanding suku sebelumnya,” jelas Maybank.

 

Ini menjadikan prestasi keuntungan bersih Maybank bagi FY20 menyusut 20.9% kepada RM6.68 bilion daripada RM8.20 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Dalam pada itu, kumpulan Maybank juga mencatatkan kualiti aset yang bertambah baik dengan nisbah Pinjaman Terjejas Kasar (GIL) menyusut kepada 2.23% pada Disember 2020 berbanding 2.65% pada Disember 2019. 

 

Kata Maybank, operasi kumpulan di negara ini menyaksikan lonjakan dalam pemberian pinjaman kasar sehingga 4.0% pada FY20, mendahului pertumbuhan industri, 3.4%. 

 

Tetapi, prestasi berbeza ditonjolkan oleh pasaran di Singapura dan Indonesia yang masing-masing mencatatkan penyusutan 1.9% dan 14.8%, terutamanya disebabkan oleh penghapusan dan pembayaran semula pinjaman. 

 

“Oleh itu, pemberian pinjaman kasar bagi 2020 mendatar berbanding tahun lalu,” jelas Maybank lanjut.

 

Pada majlis pengumuman prestasi kewangan Maybank secara maya hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, Datuk Abdul Farid Alias menjangkakan pertumbuhan pemberian pinjaman akan meraih momentum, ketika margin faedah bersih (NIM) turut meningkat. 

 

“Kami akan terus berhati-hati terhadap kemungkinan penurunan kualiti aset ekoran landasan pemulihan ekonomi yang tidak menentu di beberapa pasaran utama. 

 

“Ekonomi global dijangka melonjak semula pada 2021 didorong oleh perkembangan dan pengedaran vaksin COVID-19 untuk mencapai imuniti kelompok. Namun, permulihan ini berbeza di beberapa ekonomi. 

 

“Pasaran-pasaran kami dijangka menyaksikan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini didorong oleh dasar monetari yang akomodatif dan pengembangan fiskal. Kadar dasar semalaman dijangka kekal stabil, turut mengambil kira pemotongan 25 mata asas (bps) di Indonesia,” ujarnya. 

 

Turut serta pada majlis berkenaan, Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa dan Ketua Pegawai Kewangan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

 

Maybank
DARI kiri, Abdul Farid, Zamzamzairani dan Amirul Feisal pada majlis pengumuman prestasi kewangan Maybank secara maya hari ini.

 

Maybank mengisytiharkan dividen akhir pada kadar 38.5 sen sesaham terdiri daripada bahagian yang boleh dipilih, 21 sen sesaham di bawah Perancangan Pelaburan Semula Dividen. 

 

Bersama-sama dividen interim pada kadar 13.5 sen sesaham, ini menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen bagi FY20 bernilai 52 sen sesaham atau nisbah 91.2%. 

 

Setakat 4.41 petang, nilai saham Maybank menokok 19 sen kepada RM8.08. - DagangNews.com