DRB-Hicom, Geely muktamadkan rangka kerja pembangunan AHTV | DagangNews Skip to main content

DRB-Hicom, Geely muktamadkan rangka kerja pembangunan AHTV

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (enam dari kiri), Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (6-8 dari kiri) dan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi, Chang Lih Kang (empat dari kanan) menghadiri Mesyuarat Pembangunan Projek AHTV sebelum majlis pemeteraian MCA.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - DRB-Hicom Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) telah memuktamadkan rangka kerja pembangunan Lembah Automatif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim.

 

Kedua-dua pihak telah memeterai perjanjian kolaborasi utama (MCA) yang menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek AHTV, termasuk peranan khusus yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan dan inisiatif promosi.

 

“Perjanjian hari ini akan membawa kerjasama antara DRB-Hicom dan Geely ke peringkat seterusnya," kata DRB-Hicom dalam kenyataan media hari ini.

 

MCA ini ditandatangani susulan pemeteraian dasar-dasar utama perjanjian (HOA) oleh DRB-Hicom dan Geely awal tahun ini di Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing.

 

 

BACA JUGA: DRB-Hicom, Geely bekerjasama tarik pelabur ke Automotive High Tech Valley

 

 

Selain MCA, majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian HOA antara Altel Communications Sdn Bhd (Altel) dan syarikat pelaburan strategik Geely, Zhejiang Geespace Technology Co. Ltd. (Geespace).

 

Menurut DRB-Hicom, HOA berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi dan akan mempercepatkan perlaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel, Richard Kitts dan Ketua Pegawai Eksekutif Geespace, Tony Wang telah menandatangani HOA tersebut.

 

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah, Perancangan dan Strategi Korporat DRB-Hicom, Azri Zaharuddin (kiri) dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Geely, Dr. Wei Mei menandatangani MCA tersebut memuktamadkan rangka kerja pembangunan AHTV.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah, Perancangan dan Strategi Korporat DRB-Hicom, Azri Zaharuddin (kiri) dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Geely, Dr. Wei Mei menandatangani MCA tersebut memuktamadkan rangka kerja pembangunan AHTV.

 

 

“AHTV akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara yang akan mendorongnya menjadi sebuah hab automotif antarabangsa untuk kenderaan tenaga baharu (NEV).

 

“Tumpuannya bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama, tetapi juga dalam pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV. Ini akan memperluaskan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi,” ulas DRB-Hicom.

 

Mencerminkan kepentingan strategik AHTV, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Projek AHTV peringkat tertinggi sebelum majlis menandatangani perjanjian tersebut.

 

Turut sama dalam mesyuarat itu ialah ahli-ahli kanan pasukan Projek AHTV dan pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan serta Negeri.  - DagangNews.com