Harga gas mungkin menurun pada FY24, pendapatan Gas Malaysia dijangka kembali normal – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Harga gas mungkin menurun pada FY24, pendapatan Gas Malaysia dijangka kembali normal – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Kenanga Research menjangkakan pendapatan Gas Malaysia Berhad kembali normal setelah menikmati harga gas yang luar biasa tinggi ketika pandemik.

 

Susulan taklimat keputusan tahun kewangan 2023 (FY23) dengan syarikat utiliti gas itu, firma penyelidikan itu berkata harga jualan gas dijangka lebih rendah pada FY24 berbanding FY23. 

 

Firma itu berkata, harga rujukan Malaysia Petronas (MRP) sangat kukuh pada separuh pertama FY23 dengan purata RM53.16 setiap satu juta unit terma British (mmbtu).

 

“Kami mengekalkan ramalan keuntungan bersih FY24 dengan andaian margin RM2.50/mmbtu sementara mengunjurkan pendapatan FY25 kumpulan menurun 5% berdasarkan andaian margin yang lebih rendah sebanyak RM2.30/mmbtu apabila harga jualan gas menjadi normal,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.


Kenanga Research mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) RM3.33 sesaham. Saham tersebut menawarkan hasil dividen lebih 6%.

 

Menurut firma penyelidikan itu, keuntungan bersih Gas Malaysia bagi FY23 sebanyak RM383.4 juta memenuhi jangkaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Gas Malaysia susut 1.6% kepada RM383 juta bagi FY23 kesan penurunan jumlah jualan gas asli

 

“Walaupun jumlah jualannya jatuh 10% tahun ke tahun kepada 148.7 juta GJ (gigajul), pendapatan FY23 meningkat 6% kepada RM8.08 bilion berikutan harga jualan gas melonjak 28% kepada RM46.41/mmbtu pada FY23.

 

“Namun begitu, keuntungan terasnya pada FY23 merosot sedikit sebanyak 3% kepada RM383.2 juta terutamanya disebabkan oleh jumlah gas lebih rendah seperti yang dinyatakan di atas,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, kumpulan itu mencatatkan penambahan bersih sebanyak 21 akaun perindustrian pada FY23 (38 akaun baharu, sebahagiannya diimbangi 17 akaun sedia ada yang tidak diperbaharui) dengan lima pelanggan meminta peningkatan bekalan. 

 

Bagaimanapun, jumlah jualan FY23 turun 10% kepada 148.7 juta GJ daripada 164.8 juta GJ pada FY22.

 

Sementara itu, peningkatan 4% dalam jumlah jualan 4QFY23 didorong terutamanya oleh produk pengguna (10%), diikuti oleh pengeluar sarung tangan getah (2%), di mana kumpulan itu percaya trend penurunan permintaan pengeluar sarung tangan getah sebelum ini telah merosot.

 

Setakat pukul 12:39 tengah hari ini, saham Gas Malaysia telah menokok 1 sen atau 0.3% kepada RM3.39 dengan permodalan pasaran bernilai RM4.35 bilion. - DagangNews.com