HLIB Research kekal penarafan 'Overweight' sektor pembinaan, Gamuda pilihan utama | DagangNews Skip to main content

HLIB Research kekal penarafan 'Overweight' sektor pembinaan, Gamuda pilihan utama

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan penarafan 'Overweight' bagi sektor pembinaan dan berkata, kontrak domestik melonjak 41% tahun ke tahun kepada RM20.7 bilion pada separuh pertama tahun (1H2024).

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini antaranya didorong oleh kontrak pembinaan pusat data daripada pihak swasta.

 

Pilihan utama HLIB Research tidak berubah, iaitu Gamuda Bhd dengan saranan 'Beli' dan harga sasaran (TP) RM9.08 sesaham dan Sunway Construction Group Bhd dengan 'Beli' pada TP RM5.60 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan potensi penganugerahan dipercepatkan pada separuh kedua 2024, didorong oleh projek infrastruktur besar yang telah lama tertangguh.

 

"Sentimen positif sektor pembinaan juga boleh datang daripada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Belanjawan 2025, serta tema struktural DC dan pemerkasaan semula Johor," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: RHB Investment semak naik unjuran pendapatan Gamuda bagi FY25-FY26 sebanyak 8% didorong peningkatan margin segmen pembinaan

 

Menurut HLIB Research, kontrak yang diberikan pada 1H2024 sahaja telah hampir menyamai jumlah yang diberikan pada 2023 (RM21.8 bilion).

 

"Nilai kontrak yang lebih tinggi [dianugerahkan] sepanjang tahun ini adalah pelbagai. Bilangan projek yang dianugerahkan adalah lebih tinggi sebanyak 90% (1H2024: 97 kontrak; 1H2023: 51 kontrak).

 

“Malah, suku kedua (2Q2024) memberikan kontrak RM13.8 bilion, menjadikannya aliran suku kedua tertinggi sejak 1Q2009 (permulaan penyusunan pangkalan data HLIB), hanya di belakang rekod tertinggi pada 1Q2016 (didorong oleh Transit Aliran Massa (MRT), Lebuhraya Setiawangsa-Pantai dan Lebuhraya Pan Borneo atau PBH Sarawak),” jelasnya.

 

HLIB Research menjangkakan projek infrastruktur awam yang besar akan dilaksanakan pada 2H24.


 
“Beberapa projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat termasuk Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (RM10 bilion), Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B (RM14 bilion), Jalan Hubungan Sarawak-Sabah Fasa 2 (RM7.4 bilion), jalan Pantai Utara Sarawak, hidro dan air Sabah, pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dan projek tebatan banjir.

 

“Secara ringkasnya, kami menjangkakan pelancaran perbelanjaan pembangunan dan projek yang dibiayai di luar kunci kira-kira pada 2H2024, selepas kelewatan pada 1H2024, yang merupakan sebahagian daripada projek kerajaan.

 

“Kami percaya gelombang pelaburan ke dalam negara akan terus menggalakkan perbelanjaan pembangunan untuk infrastruktur kritikal seperti pelabuhan/lapangan terbang, infra air, lebuh raya dan kereta api,” katanya.- DagangNews.com