Impak penyusutan mata wang Turki, lira minimum ke atas KLCI | DagangNews Skip to main content

Impak penyusutan mata wang Turki, lira minimum ke atas KLCI

Mata wang Turki menguncup 15%, menghampiri paras terendahnya ketika pasaran dibuka pada Isnin lalu. - Gambar AFP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Nilai mata wang Turki, lira yang lemah hanya mendatangkan impak yang minimum ke atas perolehan indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI. 

 

CGS-CIMB Research membuat jangkaan itu selepas menilai tiga syarikat dengan permodalan besar yang mungkin menerima ‘tempias’ daripada situasi berkenaan. 

 

Ini termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang memiliki sepenuhnya Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, IHH Healthcare Berhad yang mempunyai 90% kepentiingan dalam Acibadem serta Tenaga Nasional Berhad (TNB), mempunyai 30% kepentingan dalam GAMA Enerji.

 

“Daripada ketiga-tiganya, perolehan IHH dilihat paling terdedah kepada nilai lira yang lemah. 

 

“(Namun) hubung kait antara lira dan FBM KLCI adalah sangat rendah dan tidak signifikan,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

 

Mata wang Turki menguncup 15%, menghampiri paras terendahnya ketika pasaran dibuka pada Isnin (22 Mac 2021) selepas Presidennya, Tayyip Erdogan memecat gabenor bank pusat negara itu.

 

Menurut CGS-CIMB, Erdogan memecat Naci Agbal selepas dua hari kadar faedah di Turki naik mendadak, bertujuan bagi mengatasi paras inflasi yang menghampiri paras 16% dan penurunan harga.

 

Pelantikan Sahap Kavcioglu untuk menggantikan Agbal menyaksikan situasi kali ketiga sejak pertengahan tahun 2019, Erdogan telah memecat gabenor bank pusat di negara itu.

 

Susulan itu, pasaran tempatan pada petang Isnin lalu ditutup lemah, dengan pasaran serantau lain berdepan mod bercampur-campur yang turut dipengaruhi penurunan mata wang lira.

 

FBM KLCI susut 9.46 mata kepada 1,616.73 mata setelah diheret turun kaunter syarikat-syarikat yang terkesan dengan keadaan di Turki.

 

Bagi impak penyusutan lira ke atas IHH, CGS-CIMB memberitahu, anak syarikatnya di Turki menyumbang kira-kira 26% hingga 29% kepada keseluruhan Pendapatan Sebelum Faedah, Pajak, Susut Nilai, dan Pelunasan (EBITDA) kumpulan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23.

 

“Bagi setiap 10% penguncupan lira berbanding ringgit, kami menjangkakan EBITDA IHH akan menyusut 2.5% hingga 3%. Ini akan mendatangkan beberapa impak ke atas kos pembiayaan IHH memandangkan beberapa hutangnya di Turki masih terdedah kepada euro.

 

“Namun, IHH terus menolak pendedahan bukan lira melalui pertukaran mata wang silang (CCS) dan pembayaran hutang sejak 2018 (dari € 583 juta pada akhir 2018 kepada € 37 juta pada akhir 2020).

 

“Oleh itu, kami menjangkakan keuntungan atau kerugian pertukaran asing bersih ini akan lebih rendah pada FY21. Acibadem masih mengalami kerugian pada FY20,” tambah CGS-CIMB lanjut.

 

Dari segi impak ke atas MAHB, mata wang lira yang melemah akan menyebabkan perjalanan keluar di negara itu menjadi mahal buat rakyatnya, sekali gus mendorong kepada penguncupan permintaan.

 

Sementara itu, situasi penyusutan lira akan mendatangkan impak yang kecil ke atas perolehan TNB memandangkan syarikat utiliti itu tidak mengiktiraf sebarang keuntungan bersama dari GAMA Enerji. 

 

Ini selepas kepentingan 30% aset Turki milik TNB di bawah GAMA Enerji telah dihapuskan sepenuhnya daripada pelaburan awal bernilai RM1 bilion pada tahun 2018, kata CGS-CIMB.

 

Setakat 11.47 pagi, ketiga-tiga saham IHH, TNB dan MAHB masing-masing menokok sebanyak 3 sen kepada RM5.34, 4 sen kepada RM10.74 dan 12 sen kepada RM6.27. - DagangNews.com