KUALALUMPUR 5 Sept - Inta Bina Group Berhad meraih kontrak pembinaan sebuah blok pangsapuri 37 tingkat bernilai RM96.5 juta daripada Sime Darby Property (Bukit Raja) Sdn Bhd.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Inta Bina berkata, surat anugerah kontrak tersebut diterima anak syarikat milik penuhnya, Inta Bina Sdn Bhd (IBSB) pada 5 September 2024.
"Projek tersebut terletak di atas Lot 62695 (GRN 335470), Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, Mukim Damansara, Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan untuk Tetuan Sime Darby Property (Bukit Raja) Sdn Bhd.
"Tempoh pembinaan adalah dalam jangka masa 30 bulan. Tarikh mula dan tarikh siap mengikut surat anugerah yang masing-masing adalah pada 18 September 2024 dan 17 Mac 2027," katanya hari ini.
Sementara itu, Inta Bina berkata, kontrak pembinaan tersebut merangkumi 246 unit pangsapuri perkhidmatan perniagaan dan 62 unit pangsapuri perniagaan mampu milik dari tingkat 7 hingga tingkat 37.
ARTIKEL BERKAITAN: Jualan hartanah kukuh, pusat data tingkatkan sentimen saham Sime Darby Property - RHB IB
Katanya, kontrak itu turut melibatkan pembinaan 5 tingkat tempat letak kereta dari tingkat 2 hingga tingkat 6, satu tingkat kemudahan penduduk seperti tadika, surau, kolam renang dewasa, kolam renang kanak-kanak, gimnasium, pejabat pengurusan, ruang dobi, dewan serbaguna, ruang peti surat lobi, kebuk sampah dan pencawang elektrik di tingkat 1.
Turut perlu dibina ialah satu tingkat kemudahan penduduk seperti taman permainan dan ruang bacaan di sebahagian tingkat 7 dan satu unit pondok pengawal di tingkat 1, jelas Inta Bina.
"Kontrak ini tidak akan memberi kesan terhadap modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama Inta Bina.
"Sekiranya tiada keadaan yang tidak dijangka, Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif keuntungan masa depan Inta Bina sepanjang tempoh Kontrak," ujarnya.
Inta Bina juga memaklumkan yang Kumpulan bercadang untuk membiayai Kontrak ini melalui dana yang dijana dari dalaman dan/atau pinjaman luar.- DagangNews.com