IOI Corp dijangka berdepan cabaran dalam segmen hiliran sepanjang FY24 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

IOI Corp dijangka berdepan cabaran dalam segmen hiliran sepanjang FY24 - Maybank IB

Foto IOI Corp
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank) menurunkan unjuran pendapatan IOI Corp Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 hingga 2026 (FY24-26) masing-masing sebanyak 3%, 2% dan 2% berikutan pendapatan segmen hiliran yang lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan syarikat perladangan sawit itu agak mendatar pada separuh kedua FY24 berikutan prospek segmen hiliran yang tidak menentu.

 

Firma itu berkata demikian susulan pemulihan hiliran lebih perlahan daripada jangkaan setelah IOI Corp mencatat kejatuhan 85% tahun ke tahun (YoY) dalam pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) kepada RM65 juta akibat pemampatan margin dan hasil lebih rendah.

 

“Subsegmen oleo dan penapisan melaporkan margin yang jauh lebih rendah pada perbandingan tahun ke tahun. Prospek hiliran kekal mencabar untuk sepanjang FY24,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tanpa mengambil kira keuntungan pertukaran mata wang asing dan kerugian nilai saksama, PATMI teras kumpulan pada separuh pertama (1H) FY24 menyusut 34% YoY kepada RM595 juta, merangkumi 45% daripada anggaran tahun penuh konsensus dan firma tersebut. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih IOI Corp jatuh 53% kepada RM335.4 juta pada 2QFY24, isytihar dividen 4.5 sen

 

Secara operasi, EBIT huluan pada 2QFY24 turun 10% YoY kepada RM293 juta, terutamanya didorong purata harga jualan minyak sawit mentah yang sederhana pada RM3,689 setiap tan dan dikurangkan oleh pengeluaran buah tandan segar lebih tinggi 6% YoY dan kos unit lebih rendah. 

 

Sumbangan daripada syarikat bersekutu perladangan pula adalah lebih tinggi 16 kali ganda YoY pada RM39 juta.

 

 “Kami menganggarkan keseluruhan kos operasi IOI Corp pada 1HFY24 kepada pelanggan berjumlah kira-kira RM2,200 setiap tan. 

 

“Keluaran 1HFY24 yang meningkat 7.9% YoY berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pertumbuhan buah tanda segar kumpulan sebanyak 7% hingga 10% YoY untuk FY24 (unjuran Maybank IB: 9% YoY),” tambahnya.

 

Setelah mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM3.98 daripada RM4.07, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kalendar 2024 (CY24) kekal pada 19 kali. 

 

Setakat pukul 10:51 pagi, saham IOI Corp menokok 1 sen atau 0.3% kepada RM4 dengan permodalan pasarannya bernilai RM25.1 bilion.  - DagangNews.com