Jemaah haji tertangguh akibat COVID-19, diberi keutamaan 2022 kata Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Jemaah haji tertangguh akibat COVID-19, diberi keutamaan 2022 kata Tabung Haji

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 13 Jun – Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, bagi bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada tahun 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada tahun 2021, mereka sekarang akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2022.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata, bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

 

Ini berikutan langkah Tabung Haji menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1442H/2021M selaras dengan keputusan muktamad Kerajaan Arab Saudi bahawa tiada jemaah negara luar termasuk Malaysia yang akan dibenarkan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji,
atas faktor keselamatan dan kesihatan semua.

 

Keputusan penangguhan ini dibuat setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membuat pengumuman rasmi yang diperoleh dari Kerajaan Arab Saudi, semalam.

 

Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H/2021M dihadkan hanya untuk warga negara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja. Ini berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

 

Bagi rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi, mereka boleh memohon melalui Kementerian Haji & Umrah Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini, tertakluk kepada kriteria pemilihan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

 

Amrin berkata, walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, TH menerima keputusan yang telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia.

 

Menurutnya, keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia tahun ini jelas menunjukkan
keprihatinan Kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak COVID-19.

 

“TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini sejak dahulu,” menurut beliau.

 

“TH juga menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil Kerajaan Malaysia dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin

 

TH menasihati umat Islam di Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini. TH memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan.

 

Salah satu dari syarat-syarat wajib haji adalah berkemampuan atau ‘Istito’ah’ untuk pergi menunaikan haji. Antara ciri-ciri Istito’ah ialah dari segi kesihatan, kemampuan kewangan, keamanan dalam perjalanan, pengangkutan yang selamat dan kebenaran kuota haji.

 

Untuk sebarang pertanyaan dan makluman lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di 03-62071919. -DagangNews.com