Kebimbangan terjawab, 6 negeri dikenakan PKP selama 14 hari | DagangNews Skip to main content

Kebimbangan terjawab, 6 negeri dikenakan PKP selama 14 hari

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula pukul 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perintah tersebut bagaimanapun akan melibatkan tiga peringkat pelaksanaan.

 

  • Pertama: PKP ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. 
  • Kedua: PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam  buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
  • Ketiga: PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

 

Perkara tersebut diumumkan dalam satu perutusan khas pelaksanaan PKP hari ini.

 

Tambah beliau, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Tahap keupayaan perkhidmatan kesihatan KKM juga telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

 

KKM juga akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali.Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P, aktiviti sosial adalah dibenarkan dan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat. 

 

Pergerakan rentas negeri juga TIDAK DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.

 

Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah itu, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021.

 

Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.

 

Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya DUA anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.

 

Mana-mana individu yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

 

"Bagi sektor ekonomi, kerajaan telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

 

"Sektor tersebut dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal
dan kerja-kerja kecemasan," jelas beliau. - DagangNews.com