Kekurangan pertumbuhan akibatkan PMI Pembuatan Malaysia kekal di bawah ambang 50 mata - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Kekurangan pertumbuhan akibatkan PMI Pembuatan Malaysia kekal di bawah ambang 50 mata - TA Securities

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 April - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang terus berada di bawah ambang 50 mata sejak September 2022 menandakan kekurangan pertumbuhan, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun ia menunjukkan prestasi yang lebih memberangsangkan pada suku pertama 2024 (1QCY24) berbanding suku keempat 2023 dengan purata PMI bagi 1Q24 ialah 49.0, berbeza dengan 47.5 yang dicatatkan pada 4Q23.

 

"Setelah menjalankan analisis yang lebih terperinci tentang arah aliran semasa, terdapat rasa optimis akan berlaku perubahan yang baik pada suku pertama, walaupun ia kekal di bawah ambang pertumbuhan.

 

"Ini sejajar dengan perspektif kami yang menjangkakan momentum positif dalam sumbangan segmen pembuatan kepada ekonomi sebenar.

 

"Ia berbeza dengan penguncupan 0.3% yang diperhatikan pada suku akhir 2023 dengan ramalan pertumbuhan 2.0% YoY untuk 1Q24 dalam pembuatan sebenar," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Menurut TA Securities, memandang ke hadapan, harapan untuk peningkatan yang lebih kukuh dalam permintaan adalah kunci kepada keyakinan mengenai prospek keluaran 12 bulan pada akhir suku pertama. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengilang kurang yakin prospek pengeluaran disebabkan kebimbangan inflasi melonjak naik - MIDF Research

 

"Tahap keyakinan keseluruhan berkurangan kepada paling rendah sejak Ogos lalu apabila pengeluar menekankan kebimbangan mengenai masa yang diharapkan untuk pemulihan dalam permintaan," jelasnya.

 

Kata firma penyelidikan itu, laporan S&P Global menyerlahkan penyederhanaan berterusan dalam sektor pembuatan apabila merosot daripada 49.5 pada Februari kepada 48.4 pada Mac disebabkan oleh keadaan permintaan yang lemah.

 

Ujarnya, ini apabila tinjauan tersebut mendapati sektor pembuatan di Malaysia mengalami penguncupan pada Mac, gagal melepasi paras ambang 50.

 

"Dalam tempoh tinjauan, pesanan baharu pada bulan Mac terus menurun untuk 19 belas bulan berturut-turut, mencerminkan permintaan lemah yang berterusan. 

 

"Kadar pengurangan dipercepatkan berbanding Februari dan menandakan penurunan paling ketara yang diperhatikan pada 2024 setakat ini.

 

"Di samping itu, permintaan yang lemah adalah jelas di pasaran antarabangsa, di mana jualan menjadi sederhana untuk bulan ke 11 berturut-turut," katanya.- DagangNews.com