KUALA LUMPUR 23 Okt - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap ekonomi Malaysia berikutan jangkaan kemerosotan sektor pembuatan yang terjejas oleh kelemahan permintaan luar.
Jabatan Perangkaan (DOSM) telah melaporkan anggaran awal KDNK pada 3Q23 berkembang sebanyak 3.3% (2Q23: 2.9%), di mana Kenanga Research berkata lebih tinggi daripada unjurannya sebanyak 1.7% dan konsensus Bloomberg pada 2.7%.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2023 (3Q23) pada 1.7%.
Ini berikutan firma tersebut kekal berhati-hati disebabkan ia menjangkakan kemerosotan sektor pembuatan berikutan kelemahan permintaan luar akan mempengaruhi pertumbuhan KDNK seperti yang ditunjukkan dalam indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan yang lemah pada September pada 46.8 berbanding 47.8 bulan sebelumnya.
Di samping itu, firma itu berkata pertumbuhan eksport juga menguncup mendadak pada 3Q23 sebanyak 15.2% berbanding 11.1% suku sebelumnya, kemerosotan bagi suku kedua berturut-turut, yang berpotensi mengheret pertumbuhan keseluruhan 3Q23.
“Namun begitu, kami menjangkakan permintaan dalam negeri menyokong pertumbuhan KDNK, disokong oleh kadar pengangguran lebih rendah (Ogos: 3.4%; Julai: 3.4%) dan pertumbuhan mampan dalam jualan perdagangan pengedaran (Ogos: 6.7%; Jul: 7.1%) didorong peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong.
“Sementara itu, perdagangan pengedaran dijangka mengekalkan pertumbuhan pada September, dengan pertumbuhan keseluruhan 3Q23 berkembang kepada 6.4% (2Q23: 5.7%), sekali gus menyokong pertumbuhan KDNK,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2023 pada 3.5% hingga 4%, sekitar unjuran terkini Kementerian Kewangan sebanyak 4%.
ARTIKEL BERKAITAN: DOSM: Anggaran awal KDNK Malaysia catat pertumbuhan 3.3% pada suku ketiga 2023
Secara keseluruhan, KDNK meningkat 3.9% dalam tiga suku pertama 2023 berbanding 9.2% yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas, didorong oleh sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian.
Bagaimanapun, firma itu berkata momentum pertumbuhan dihadkan sebahagiannya oleh penguncupan dalam sektor pembuatan dan perlombongan. - DagangNews.com