Kerajaan seru rakyat amal sikap Malaysia First, dahulukan barangan tempatan bantu kukuh nilai ringgit | DagangNews Skip to main content

Kerajaan seru rakyat amal sikap Malaysia First, dahulukan barangan tempatan bantu kukuh nilai ringgit

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Feb - Kementerian Kewangan menggalakkan rakyat negara ini mengamalkan sikap mendahulukan Malaysia atau Malaysia First sebagai pengguna harian kerana semua pihak boleh memainkan peranan dalam menangani isu prestasi nilai ringgit.

 

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini termasuk membeli barangan dan perkhidmatan domestik, serta melabur dalam unit amanah atau pelaburan lindung nilai ringgit domestik. 

 

"Kempen melancong di dalam negara dan membeli barangan tempatan juga perlu diperkenalkan dan ditingkatkan kerana ia bukan sahaja menjimatkan wang malah dapat meningkatkan prestasi ekonomi negara dan menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit," katanya dalam jawapan waktu pertanyaan menteri (MQT) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan)yang bertanya faktor-faktor yang menyebabkan penurunan nilai mata wang ringgit yang tidak mencerminkan petunjuk prestasi ekonomi negara yang menggalakkan.

 

Guan Eng juga meminta Menteri Kewangan menyatakan kesan negatif, serta apakah langkah-langkah kewangan yang boleh diambil oleh Bank Negara untuk menghindar ringgit terus susut nilai.

 

AMIR HAMZAH AZIZAN
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sewaktu sesi MQT pada sidang Dewan Rakyat hari ini./Gambar BERNAMA

 

Amir Hamzah dalam masa sama menekankan bahawa walau apa-apapun penjelasan, Kerajaan tetap memandang serius akan prestasi nilai ringgit dan komited mempertahankan serta memperkukuh kedudukan ringgit.

 

Katanya, pelbagai langkah segera telah diambil oleh Kerajaan dan BNM dalam menangani kemerosotan ringgit termasuklah memastikan pasaran pertukaran asing di dalam negeri kekal teratur serta mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari.

 

"BNM akan terus memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.

 

"BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar AS," jelasnya.

 

Kata Menteri Kewangan II, BNM juga telah mempertingkatkan usaha-usaha untuk membendung pergerakan nilai ringgit yang berlebihan. 

 

Ujar beliau, Kementerian Kewangan dan BNM telah mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran matawang asing.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kejatuhan ringgit membimbangkan tetapi perlu ambil kira pandangan menyeluruh, kata PM Anwar

 

"Khususnya, kami memperkasakan lagi usaha bersama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLIC dan GLC) bagi menggalakkan mereka membawa pulang pendapatan pelaburan asing (repatriation) dan menukar pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten.

 

"Kerajaan turut mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta untuk mengurangkan tekanan kepada ringgit. Ini termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik serta menangguhkan pelaburan luar negara baharu," katanya.

 

Tambah Amir Hamzah, pelaburan luar negara yang dilaksanakan juga perlu diurus secara berhemat seperti melindungi nilai (hedging) pendedahan mata wang asing dan membawa balik hasil pelaburan luar negara bagi mengurangkan tekanan kepada ringgit.

 

Sementara itu, Kementerian Kewangan sekali lagi menegaskan asas ekonomi Malaysia adalah kukuh dengan menyenaraikan lima faktor bagi menyokong hujah berkenaan termasuk pertumbuhan ekonomi lebih kukuh pada tahun 2024 diyakini di antara 4.0% hingga 5.0% berbanding pertumbuhan ekonomi 3.7% tahun 2023. 

 

Katanya, pengukuhan pertumbuhan disokong unjuran terkini IMF menunjukkan perdagangan global akan meningkat daripada 0.4% pada tahun 2023 kepada 3.3% tahun 2024.

 

Faktor kedua, kata Amir Hamzah,  kadar pengangguran telah turun kepada 3.3% pada suku keempat 2023 selaras dengan tahap sebelum krisis COVID-19 dan ketiga, kadar inflasi menurun ke 1.6% suku keempat 2023 daripada 2.0% suku ketiga, iaitu antara terendah di Asia.

 

"Kempat, prestasi eksport telah menunjukkan pemulihan kukuh bulan Januari 2024 meningkat 8.7% selepas menguncup selama 10 bulan sebelum ini.

 

"Kelima, prospek pelaburan sangat baik. Pada tahun 2023, pelaburan yang diluluskan mencapai RM329.5 bilion iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah. Usaha akan digandakan ke arah memudahcarakan perniagaan dan menyegerakan pelaksanaan pelaburan bagi memacu pertumbuhan tahun ini.

 

Dalam pada itu, menurut Amir Hamzah, pergerakan ringgit dipengaruhi pelbagai faktor dan kejatuhan nilai ringgit yang dialami dalam tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China yang mana faktor ini turut memberi kesan kepada mata wang serantau lain.

 

Katanya, setakat 28 Februari 2024, nilai ringgit telah menyusut -3.5% berbanding dolar AS, sejajar dengan mata wang serantau seperti yen Jepun (-6.3%), baht Thailand (-4.7%) dan won Korea (-3.3%).

 

"Sejak Mac 2022, bank pusat AS telah menaikkan kadar faedah dengan mendadak dan agresif. Kadar dasar utama AS yang mulanya berada dalam julat 0-0.25% pada Mac 2022 telah pun dinaikkan sebanyak 525 mata asas kepada julat 5.25-5.50% dalam tempoh 16 bulan.

 

"Pada masa yang sama, kadar dasar utama negara serantau seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Korea dan India turut menyaksikan peningkatan sebanyak 200 ke 450 mata asas. Peningkatan OPR Malaysia pula hanyalah sebanyak 125 mata asas dari 1.75% ke 3.00% bagi tempoh yang sama. 

 

"Peningkatan OPR yang lebih rendah berbanding negara-negara lain boleh dikatakan sebab utama nilai ringgit menurun berbanding negara-negara tersebut. Perbezaan ketara dalam kadar faedah AS iaitu sebanyak 250 mata ini contohnya mendorong pelabur asing untuk mengalihkan modal keluar dari pasaran domestik ke pasaran yang memberikan pulangan lebih tinggi," jelas Menteri Kewangan II.- DagangNews.com