Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics letak jawatan atas sebab peribadi | DagangNews Skip to main content

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics letak jawatan atas sebab peribadi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC), Sasha Omar Firdaus Aamir meletak jawatan pada 13 September selepas tiga tahun berkhidmat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGRC berkata bahawa Sasha Omar, 48, telah meletak jawatan, atas sebab peribadi.

 

Sasha Omar mula memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu pada 23 September 2020. Sebelum menjawat jawatan tersebut, beliau adalah Ketua Pegawai Operasi sejak 1 Februari 2014.

 

"Sebelum menyertai syarikat tersebut, beliau telah bekerja di Neuramatix Sdn Bhd, syarikat induk utama MGRC sebelum ini bagi tempoh 13 tahun," kata MGRC.

 

Laporan Tahunan MGRC 2022 menunjukkan bahawa Sasha Omar mempunyai lebih 23 tahun pengalaman dalam pembangunan perniagaan, perancangan dan pengurusan projek, pembangunan produk dan pemasaran strategik.

 

Pada pukul 9:23 pagi ini, saham MGRC menokok 0.5 sen atau 1.1% kepada 47.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM65.2 juta.  - DagangNews.com