KLCI susut lebih 20 mata, Cukai Makmur jejaskan sentimen | DagangNews Skip to main content

KLCI susut lebih 20 mata, Cukai Makmur jejaskan sentimen

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Permulaan November yang kurang baik minggu ini buat bursa tempatan di sebalik pembentangan Bajet 2022, Jumaat lalu yang membabitkan peruntukan terbesar berjumlah RM322.1 bilion.

 

Dagangan pagi ini susut sehingga 26.07 mata kepada 1,536.24 mata ekoran cadangan pelaksanaan Cukai Makmur dan juga kos urus niaga daripada duti setem yang lebih tinggi ke atas nota kontrak turut mempengaruhi sentimen pasaran.

 

Menurut Malacca Securities Research dalam nota kajian, meskipun Bajet 2022 dilihat sebagai sebagai pengembangan, tetapi pelaksanaan langkah berkenaan akan menjejaskan pelbagai kelebihan yang ditonjolkan dalam bajet ini sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat. 

 

"Ini mungkin membawa kepada tekanan jualan secara mendadak terhadap FBM KLCI dan pasaran yang lebih meluas hari ini. 

 

"Namun begitu, kami menjangkakan aktiviti memburu saham akan kembali semula apabila pemain pasaran mula memberi fokus kepada rentak pemulihan ekonomi," katanya hari ini.

 

Baca : Bajet 2022 : Cukai Makmur diperkenal kepada syarikat catat pendapatan tinggi

 

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi di bawah Bajet 2022.

 

Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.

 

Setakat 9.25 pagi ini, kaunter rugi mengatasi untung pada 94 berbanding 656 manakala 248 kaunter tidak berubah dan 1,276 tidak diniagakan. 

 

Kaunter perbankan, yang akan dikenakan cukai khas tersebut, susut dengan mendadak. Ia mneyaksikan CIMB susut 15 sen kepada RM5.07 manakala Hong Leong jatuh 58 sen kepada RM17.88 diikuti Public Bank susut 10 sen kepada RM4.07 dan Maybank juga susut 4 sen kepada RM8.01.

 

Sementara itu, bagi dagangan kaunter aktif, saham AirAsia X mendahului dagangan dengan susut 2 sen kepada 7.5 sen manakala KNM juga susut 0.05 sen kepada 20 sen.

 

Saham Malaysian Pacific Industries pula mendahului kaunter untung dengan menokok 70 sen kepada RM48.38. Sebaliknya, Genetec didagangkan paling rugi susut 50 sen kepada RM46 dalam dagangan pagi ini. - DagangNews.com