Kos kewangan Reservoir Link mungkin meningkat, BIMB Securities kurangkan unjuran pendapatan FY24-26 sehingga 22% | DagangNews Skip to main content

Kos kewangan Reservoir Link mungkin meningkat, BIMB Securities kurangkan unjuran pendapatan FY24-26 sehingga 22%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - BIMB Securities Research mengurangkan unjuran pendapatan Reservoir Link Energy Berhad sebanyak 19% hingga 22% untuk tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-FY26) dengan andaian kos kewangan yang lebih tinggi.

 

Semak turun unjuran berkenaan adalah susulan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kumpulan berjumlah RM2.1 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) yang berada di bawah anggaran firma penyelidikan itu dan konsensus masing-masing pada 19% dan 20%.  

 

Sementara itu, pendapatan teras bagi suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) merosot 49% suku ke suku kepada RM700,00 yang terkesan oleh hasil lebih rendah daripada segmen tenaga solar serta margin yang lebih rendah dalam segmen minyak dan gas. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Belanja pentadbiran tinggi, untung bersih Reservoir Link Energy susut kepada RM1.4 juta pada 2QFY24

 

BIMB Securities menjangkakan aktiviti tenaga solar akan menjadi lebih rancak pada FY25 dengan pelancaran projek Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini.

 

Menurut firma tersebut, buku pesanan Reservoir Link bernilai RM210 juta disokong oleh penambahan buku pesanan dalam segmen minyak dan gas.

 

“Pengurusan memaklumkan bahawa syarikat yang menyertai projek CGPP menyerahkan penyertaan Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) baru-baru ini. 

 

“Oleh itu, pelancaran projek CGPP mungkin hanya mendapat daya tarikan dalam separuh kedua 2024. Selain itu, syarikat berkenaan menjangkakan penyenaraian Founder Energy di Nasdaq menjadi nyata menjelang pertengahan tahun ini,” tambahnya.

 

Secara keseluruhannya, BIMB Securities masih berpendapat bahawa harga saham itu agak murah meskipun permintaan menggalakkan untuk projek solar. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 33 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY25 sebanyak 10 kali ganda.

 

Pada rehat tengah hari, saham Reservoir Link ditutup kekal pada 28 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM88.7 juta. - DagangNews.com