MAA kekalkan unjuran jualan 740,000 kenderaan pada 2024 di sebalik penyasaran subsidi diesel | DagangNews Skip to main content

MAA kekalkan unjuran jualan 740,000 kenderaan pada 2024 di sebalik penyasaran subsidi diesel

MAA harap penyasaran subsidi tidak beri kesan ketara kepada jualan kenderaaan diesel. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LMPUR 14 Jun - Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengekalkan unjuran jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) tahun ini walaupun penyasaran subsidi diesel telah mula dilaksanakan 10 Jun 2024.

 

MAA sebelum ini mengunjurkan TIV 2024 sebanyak 740,000 buah kenderaan.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan tersebut berkata, permintaan untuk kenderaan diesel komersial, trak pikap dan van masih tinggi. 

 

Justeru, kata MAA, adalah diharapkan impak penyasaran subsidi diesel kepada TIV tidak signifikan memandangkan kenderaan diesel di seluruh negara berada di bawah 12% 

 

ARTIKEL BERKAITAN: HLIB unjur TIV 2024 sebanyak 720,000 unit berbanding 740,000 unit disasarkan MAA

 

"Walau bagaimanapun, kami berpendapat pengguna akan berhati hati untuk membuat keputusan membeli pada awalnya tetapi tidak akan menafikan pembelian memandangkan keperluan kenderaan diesel masih diperlukan untuk kegunaan semasa," katanya.

 

Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain pada Januari lalu memaklumkan yang persatuan itu mengunjurkan TIV 740,000 unit pada 2024. 

 

hino
Kenderaan berenjin diesel penting untuk perniagaan. -Gambar HINO Malaysia

 

Sementara itu, MAA berkata, jangkaan impak yang tidak signifikan kepada TIV dijangkakan kerana kerajaan menawarkan subsidi bersasar kepada penerima dan sektor yang layak.

 

Katanya, kerajaan juga masih meneruskan pemberian subsidi kepada golongan B40, kenderaan komersial yang layak dan juga kepada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak. 

 

"Penggunaan diesel untuk kenderaan komersial amat diperlukan untuk menjalankan aktiviti ekonomi negara.

 

"Walaubagaimana pun, kami difahamkan bahawa subsidi yang diluluskan tidak merangkumi kesemua pengunaan sektor yang terlibat mendapat subsidi, oleh itu mekanisme rebat yang tepat dan efisien adalah amat penting. 

 

"Adalah penting kuota subsidi untuk sektor ini dibuat dengan jelas bagi mengelakkan pengendali pengangkutan daripada menaikkan kadar pengangkutan yang akan memberi kesan kepada orang awam dan daya saing negara," jelasnya.

 

MAA dalam pada itu menyambut baik usaha kerajaan menyasarkan subsidi diesel kepada pengguna yang berhak.

 

Katanya, dengan pelaksanaan ini, diharap kerajaan dapat terus memberi insentif atau subsidi tenaga kepada teknologi terkini seperti kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri, dan kenderaan elektrik sel bahan api.

 

"Di Malaysia, kebanyakan kenderaan yang menggunakan enjin diesel adalah trak pikap, van dan kenderaan perdagangan. 

 

"Selain dari penggunaan persendirian, pengguna kenderaankenderaan ini kebanyakannya dari sektor pembinaan, perladangan, logistik, pelancongan, pengangkutan dan ianya amat penting untuk kelangsungan operasi perniagaan syarikat," ujarnya.- DagangNews.com