Mahkamah Tinggi tolak permohonan injuksi interim Serba Dinamik ke atas Bursa, E&Y | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Tinggi tolak permohonan injuksi interim Serba Dinamik ke atas Bursa, E&Y

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Serba Dinamik Holdings Bhd untuk mengenakan injunksi interim terhadap Bursa Malaysia Securities Bhd dan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y) daripada mengeluarkan laporan mengenai hasil penemuan terhadap syarikat itu.

 

Serba Dinamik telah memfailkan saman pemula terhadap E&Y yang bertujuan untuk menghalang juruaudit daripada berkongsi sebarang penemuan atau pendapat mengenai syarikat itu. 

 

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, bagaimanapun, membenarkan permohonan Serba Dinamik untuk penangguhan pendengaran permohonan injunksi untuk menjawab afidavit yang difailkan oleh Bursa dan E&Y. 

 

“Saya akan membenarkan plaintif menjawab afidavit berikutan permintaan mereka dalam tempoh seminggu bermula hari ini (Khamis). 

 

"Berkenaan permintaan mereka untuk injuksi interim dan demi mengimbangi kepentingan keadilan, mahkamah ini memerintahkan supaya tiada perintah injuksi interim diberikan. 

 

"Syarikat itu tidak boleh mendapat keuntungan daripada ketidaksediaan mereka untuk meneruskan kedua-dua perkara pagi ini," katanya. 

 

Mahkamah telah menetapkan 8 Disember untuk mendengar kedua-dua permohonan pada 2.15 petang.

 

Serba Dinamik telah memfailkan saman terhadap Bursa Malaysia Securities Berhad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 November lalu. 

 

Ia mendakwa bursa telah bertindak `melampaui’ bidang kuasa apabila menggantung dagangan saham syarikat itu. Isu ini bermula daripada kebimbangan yang dibangkitkan terhadap proses audit Serba Dinamik sejak Mei lalu.


 

ARTIKEL BERKAITAN:

SERBA DINAMIK fail saman terhadap Bursa Malaysia

SERBA DINAMIK FAILKAN SAMAN TERHADAP ERNST & YOUNG CONSULTANT


 

Dalam perkembangan lain, Serba Dinamik telah terlepas pembayaran kupon bagi sukuk bernilai  AS$300 juta dua hari lalu (9 Nov). 

 

Kertas bon Islam itu merupakan sukuk tidak bercagar senior tiga tahun dengan kadar keuntungan tahunan 6.3% yang perlu dibayar dua kali setahun dan akan matang pada 9 Mei tahun depan.

 

Bayaran kupon yang perlu dibayar adalah kira-kira AS$9.45 juta (RM39.35 juta). 

 

Difahamkan bahawa ketidaktepatan pembayaran itu belum lagi menjadi keingkaran kerana perjanjian bon termasuk tempoh 30 hari untuk pembayaran kupon dibuat dari tarikh tamat tempoh. 

 

Bagaimanapun, sukuk Mei 2022 itu mengandungi peruntukan lalai silang dengan satu lagi sukuk AS$200 juta, yang akan matang pada 12 Mac 2025. 

 

Kertas bon Islamnya yang lain mempunyai kadar keuntungan tahunan sebanyak 6.997%, yang juga dibayar dua kali setahun.

 

Sukuk AS$300 juta itu diterbitkan oleh SD International Sukuk Ltd, anak syarikat tidak langsung milik penuh Serba Dinamik. -DagangNews.Com